SPR dibenar jalankan siasatan tempatan bagi persempadanan semula


Keputusan Mahkamah Rayuan untuk mengenepikan penangguhan itu hari ini adalah keputusan 2-1 oleh Hakim-hakim Idris Harun dan Yaacob Md Sam, manakala Rhodzariah Bujang membantah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2017.

MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneruskan siasatan tempatan di Selangor sebagai sebahagian daripada cadangan pelaksanaan persempadanan semula.

Mahkamah Rayuan mengenepikan penangguhan itu dengan keputusan majoriti oleh Hakim Idrus Harun dan Hakim Yaacob Md Sam, manakala Hakim Rhodzariah Bujang membantah.

Keputusan itu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menangguhkan proses siasatan tempatan tersebut, susulan semakan kehakiman yang difailkan oleh kerajaan Selangor ke atas persempadanan semula.

Mahkamah Tinggi telahpun menolak permohonan semakan kehakiman oleh kerajaan negeri untuk mengisytiharkan bahawa persempadanan semula itu tidak mengikut Perlembagaan.

Tiada alasan diberikan mahkamah berkenaan keputusan itu. Apabila peguam Ambiga Sreenevasan yang mewakili kerajaan negeri Selangor meminta penjelasan, Idrus berkata beliau dan Yaacob bersetuju dengan hujah SPR.

Beliau membenarkan usul SPR tanpa perintah kos.

Keputusan Mahkamah Tinggi menangguhkan proses siasatan SPR awal bulan ini disambut dengan gembira, antaranya oleh Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Azmin berkata, jika penangguhan itu tidak diberikan, rayuan kerajaan negeri akan menjadi akademik dan tiada kesan ke atas hujah yang akan dikemukakan kerajaan negeri di mahkamah kelak.

Dengan penangguhan itu, SPR tidak akan dapat menyelesaikan siasatan tempatan dan mengemukakan laporannya kepada perdana menteri. Ini akan menyebabkan persempadanan semula tidak mendapat kelulusan Parlimen.

Malaysiakini melaporkan peguam mewakili SPR, Amarjeet Singh berkata penangguhan yang diberi Mahkamah Tinggi akan menghalang SPR menjalankan tanggungjawab perlembagaannya untuk melakukan siasatan tempatan. Penangguhan itu katanya, akan menjejaskan hak pengundi lain di Semenanjung Malaysia. – 18 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Persempadanan semula dilakukan bagi tujuan pilihan raya untuk mengelakkan ketidakseimbangan penduduk bagi seluruh daerah mengundi. Oleh kerana kepadatan penduduk semakin berkembang, SPR perlu melakukan siasatan persempadanan supaya daerah mengundi di setiap kawasan seimbang.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Liyana Jamal · Ulasan