Kurang ajar dan hina Sultan, Jamal ‘bakar’ Zaid Ibrahim


Radzi Razak

PEMIMPIN Umno kontroversi Jamal Md Yunos muncul kembali dengan membakar dua potongan kadbod menyerupai bekas menteri, Zaid Ibrahim.

Jamal berkata Zaid yang kini menjadi ahli DAP selepas keluar daripada PKR dan parti beliau sendiri, Kita, lupa untuk menghormati Sultan seperti diajar dalam Umno.

“Dia ini telah mendapat banyak kenikmatan sewaktu jadi menteri daripada Umno.

“Jadi hari ini dia telah kurang ajar terhadap Sultan kami iaitu Sultan Negeri Selangor,” kata beliau kepada media di lorong keluar parkir tingkat bawah Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Jamal memegang dua keratan kadbod menyerupai Zaid dengan perkataan “Pengkhianat, Kurang Ajar, Biadap!!!” sepanjang sidang media ringkas itu.

Kemudian kedua kadbod itu diserahkan kepada beberapa lelaki berhampiran yang kemudiannya menyalakan api di pinggir jalan untuk membakar kadbod tersebut sambil menampar dan memijaknya.

Pagi tadi, Jamal turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi terhadap Zaid kerana mempertikaikan titah Sultan Sharafuddin menerusi akaun Twitternya.

Sultan Sharafudin sebelum ini, antara lainnya menegur bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammad berhubung kenyataan menghina masyarakat Bugis ketika Perhimpunan Anti Kleptokrasi Oktober lalu.

Tengah hari tadi, Umno Selangor mengumumkan akan mengadakan Himpunan Rakyat Daulat Tuanku bagi mempertahankan Sultan Selangor dan mengutuk tindakan Pakatan Harapan kerana tidak mempertahankan institusi diraja yang dihina beberapa pemimpin pembangkang seperti Zaid. – 6 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen