Terlebih bekalan, kerajaan henti kelulusan projek hartanah mewah


Wujud ketidakseimbangan bekalan dan permintaan dalam pasaran hartanah negara. Hartanah mewah dibina banyak tetapi tidak dapat dijual. Tetapi kediaman mampu milik kurang di bina walaupun permintaan tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2017.

KERAJAAN menghentikan kelulusan projek hartanah mewah berkuat kuasa 1 November bagi menangani situasi bekalan melebihi permintaan yang wujud di negara ini, lapor NST Online semalam.

Keputusan itu dibuat selepas laporan Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan wujud ketidakseimbangan pasaran hartanah negara yang memberi risiko kepada ekonomi Malaysia.

Menurut Menteri Kewangan Kedua Johari Abdul Ghani, Kabinet memutuskan menghentikan kelulusan projek pembinaan mewah yang merangkumi kompleks membeli belah, kompleks perniagaan komersial dan kondominium yang berharga atas RM1 juta selepas mengambil kira laporan tersebut.

“Ini adalah untuk sementara waktu sehingga kita semua lebihan bekalan habis (terjual).

“Ada ketidakseimbangan ketara antara bekalan dan permintaan dan kita sedang semak semula strategi pembangunan hartanah kerana kita tidak mahu situasi itu beri kesan buruk kepada ekonomi,” katanya seperti dipetik NST Online.

Bagaimanapun, kerajaan akan terus memacu pembangunan rumah mampu milik terutama yang dijual di bawah tanda harga RM300,000 kerana wujud jurang nyata antara bekalan dan permintaan.

“Dalam sektor ini, wujud jurang antara 48% permintaan untuk rumah mampu milik sedangkan bekalan hanyalah 28%. Aspek ini akan ditangani secepat mungkin,” katanya.

Isu lebihan bekalan hartanah mewah kini dianggap menjadi isu negara selepas BNM melaporkan situasi rumah tidak terjual kian meruncing terutama di Johor apabila 27% rumah dibina tidak terjual, Selangor (21%), Kuala Lumpur (14%) dan Pulau Pinang (8%). – 20 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen