KETIDAKSEIMBANGAN pasaran hartanah boleh memberi risiko besar ke atas keseluruhan ekonomi sekiranya berlaku kejutan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Muhammad Ibrahim.
Beliau berkata, Malaysia mencatatkan hartanah kediaman tidak terjual yang tinggi iaitu 130,690 unit bagi tempoh sehingga suku pertama 2017, khususnya rumah berharga lebih RM250,000, manakala kadar kekosongan pejabat dijangka 32 peratus pada 2021.
Berdasarkan kira-kira 140 pusat beli-belah akan menyertai pasaran hartanah di negeri-negeri utama menjelang 2021, beliau berkata, ia akan memburukkan lagi lebihan penawaran dan berpotensi menjadi lebih teruk berbanding semasa Krisis Kewangan Asia (1997).
Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa, kepesatan perumahan sebelum ini telah diikuti kemerosotan kira-kira 40 peratus pada masa itu, yang berkait dengan kemelesetan ekonomi berlanjutan dan kerugian output yang besar berbanding pasaran ekuiti.
Disebabkan berlaku ketidakseimbangan dalam segmen kediaman dan komersial, BNM dalam laporannya berkata, ia sekali gus menjadi punca kebimbangan memandangkan sektor hartanah adalah terkait dengan lebih 120 industri, secara kolektif menyumbang 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dan menggaji 1.4 juta rakyat Malaysia.
Muhammad berkata, bank pusat telah membangkitkan isu itu kepada institusi perbankan dan institusi kewangan ke atas sektor tersebut masih di paras cermat namun lebihan bekalan hartanah akan menjejaskan sektor lain.
Beliau berkata, peminjam akan terus mempunyai akses kepada pembiayaan perumahan, terutama pembeli rumah pertama.
Kadar kelulusan pinjaman perumahan adalah melebihi 70 peratus, manakala kadar permohonan pinjaman yang ditolak kekal di bawah purata empat tahun, 23.3 peratus, manakala pembiayaan bagi pembelian rumah spekulatif kekal terkawal, katanya.
Pada sembilan bulan pertama 2017, pinjaman perumahan baharu sebanyak RM121.6 bilion telah diluluskan oleh bank sekali gus memberi manfaat kepada hampir 300,000 peminjam.
Daripada jumlah itu, 60 peratus disalurkan untuk pembelian rumah berharga bawah RM500,000.
Muhammad berkata, pinjaman perumahan terus berkembang pada kadar mapan 8.8 peratus tahun ini berbanding 11 peratus tahun lepas.
Mengenai pinjaman yang belum diselesaikan, kira-kira 71 peratus adalah pembiayaan rumah berharga lebih RM500,000 oleh pembeli rumah pertama, katanya. – Bernama, 17 November, 2017.
Komen