Salah siapa bila ramai graduan menganggur?


Tan Wan-Peng

Beberapa tahun kebelakangan ini jumlah graduan menganggur meningkat sehingga Khazanah Research Institute berkata ia akan melaksanakan kaji selidik jangka panjang di seluruh negara berhubung masalah itu. – Gambar The Malaysian Insight, 30 April, 2017.

PADA satu-satu masa, Jobstreet menyenaraikan 5,000 hingga 6,000 kerja disasarkan khusus untuk graduan baharu. Ia tambahan kepada 25,000 hingga 35,000 senarai kerja yang disiarkan setiap hari di portal itu.

Jadi, jika anda tanya Simon Si, ketua komunikasi serantau Jobstreet, bagaimana ramalan pekerjaan pada 2017, jawapannya ialah: “Akan berlaku pengurangan tetapi syarikat masih berkembang atau mengambil pekerja”.

Dalam kata lain, ekonomi walaupun tidak kukuh, tetap masih memerlukan graduan baharu.

Namun, beberapa tahun kebelakangan ini jumlah graduan menganggur meningkat sehingga Khazanah Research Institute (KRI) berkata ia akan melaksanakan kaji selidik jangka panjang di seluruh negara berhubung masalah itu.

KRI menerusi laporan Keadaan Isi Rumah II yang disiarkan pada 29 Ogos, 2016 berkata pada 2015, 33.8% daripada penganggur mempunyai pendidikan tinggi berbanding 35.3% pada 2014 dan 30.6% pada 2013.

Kajian pengesanan graduan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada 2015 menunjukkan suku daripada 254,161 pelajar yang berjaya menamatkan pengajian pada tahun sama masih tidak bekerja selama enam bulan selepas tamat belajar.

Memilih, graduan tidak bersedia

Si yang mempunyai 11 tahun pengalaman dalam pengambilan pekerja berkata, maklum balas dan aduan daripada majikan seperti déjà vu.

Tangga teratas dalam senarai ialah kemahiran komunikasi dan bahasa Inggeris yang teruk, permintaan gaji dan faedah tidak realistik (meminta RM3,000 sedangkan kadar pasaran hanya RM2,000), terlalu memilih (graduan kejuruteraan menolak kerja yang memerlukan mereka bekerja di lapangan) dan sikap “buruk”.

Si berkata ada graduan tidak tahu mengenai skop tugas atau syarikat itu dan apabila mereka tidak bersedia, ia menjejaskan keyakinan dan kemampuan berkomunikasi mereka.

Katanya, bersedia adalah kuncinya.

“Jika mereka bersedia, mereka akan menunjukkan kemahiran komunikasi yang baik, bahasa Inggeris bagus, memahami syarikat itu dan tahu mengenai gaji serta faedah yang ditawarkan,” katanya.

Pemerhatian Si itu tidak mengejutkan bagi naib canselor sebuah universiti swasta.

Prof Dr Md Zabid Abdul Rashid dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) berkata kajian daya saing global yang menunjukkan hampir setiap aspek berkaitan bakat – daripada kualiti graduan kepada pertumbuhan dan pengekalan – ranking Malaysia di bawah.

Graduan tidak dapat pekerjaan kerana mereka kurang kemahiran teknikal.

“Salah siapa?,” kata Zabid dan menambah tidak perlu menyalahkan graduan kerana ia juga salah kerajaan dan sektor swasta.

Sasaran jangka pendek lawan jangka panjang

Buat permulaan, syarikat dan kerajaan tidak mempunyai wawasan jangka panjang.

Zabid beri contoh.

“Jika kita hendak membina klia3 berdasarkan kepada pengalaman dan kepakaran rakyat Malaysia, ia mungkin mengambil masa lima tahu tetapi pemegang kepentingan mahu ia siap dalam tempoh tiga tahun kerana kos modalnya tinggi.

“Jadi anda tidak boleh bergantung pada bekalan pakar tempatan. Anda perlu import, bila buat begitu, apa kesannya?,” katanya.

Negara akan mendapati mereka terpaksa bergelut dengan faedah jangka panjang dengan objektif jangka pendek: bina lapangan terbang cantik dengan tenaga bakar tempatan yang sedikit.

Masalah terbesar bagi mana-mana institusi atau universiti ialah untuk mengisi jurang dalam tempoh jangka pendek, kata Zabid, dan ia mustahil.

Terperangkap dalam zon selesa

“Kedua-dua sektor kerajaan dan swasta agak gembira dengan keadaan sekarang. Kita tidak menuju ke arah industri bernilai tinggi walaupun ada banyak pelan seperti Program Transformasi Ekonomi (PTE) yang diumumkan pentadbiran Najib Razak pada 2010 – dengan sasaran mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi.

Laporan Penang Institute menunjukkan keseluruhan penggajian berkemahiran tinggi dalam ekonomi sebenarnya menurun.

Pada 2011, pengambilan pekerja berkemahiran tinggi membentuk 26% daripada keseluruhan kerja, tetapi jumlah itu kekal tidak bergerak dan jatuh 1% pada 2015. Sebaliknya, bahagian kerja kemahiran rendah dalam negara naik daripada 12% pada 2011 kepada 14% pada 2015.

“Kenapa kita membenarkan 2 juta pekerja asing di sini? Setiap bulan mereka beri RM1,000, jumlahnya RM2 bilion, setahun RM24 bilion. Kenapa anda tidak boleh bayar saja pekerja tempatan RM3,000?”

Sekali lain, ia kecenderungan rakyat Malaysia untuk ambil jalan mudah. Pekerja restoran contohnya mendapat gaji asas RM1,800 tetapi bagi rakyat Malaysia jika gaji RM2,500 pun mereka tidak mahu bekerja di situ.

Zabid berkata sekali lagi, kenapa kita (atau kerajaan) membenarkan keadaan itu berlaku?

Rendah dan murah

Hampir semua pekerja asing di Malaysia berada dalam sektor kemahiran rendah dan tidak melakukan apa-apa untuk menambah nilai kepada negara.

Untuk meningkat dalam rantaian nilai, contohnya hab pembangunan dan penyelidikan Singapura, bermakna perniagaan Malaysia perlu sanggup melabur dalam pekerja mereka dan bayar gaji lebih tinggi.

“Jika margin anda rendah, bagaimana hendak melabur?

“Rakyat Malaysia memilih membayar rendah. Kita perlu ubat perkara itu,” katanya merujuk kepada mengejar untuk kos lebih rendah.

“Rakyat Malaysia akan tetap memilih yang termurah. Keseluruhan dasar ini kerana kita kawal harga barangan dan kawal gaji. Dan industri gembira untuk kekal begitu,” katanya. – 30 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen