Bekas kerajaan BN perlu jelaskan misteri MH370, kata Kit Siang


Pesawat MH370 ghaib ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014 dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2020.

PEGAWAI kerajaan Malaysia daripada pentadbiran terdahulu yang percaya bahawa tragedi MH370 adalah rancangan pembunuhan dan bunuh diri, perlu bercakap untuk mendedahkan apa yang mereka tahu, kata Lim Kit Siang.

Veteran DAP itu berkata suruhanjaya siasatan antarabangsa perlu ditubuhkan untuk menyiasat misteri kehilangan pesawat itu yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, lesap pada 8 Mac, 2014.

“Peringkat tertinggi bekas kerajaan Malaysia yang percaya dari awal lagi bahawa tragedi MH370 adalah rancangan pembunuhan dan bunuh diri, perlu bercakap sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu merujuk kepada pendedahan dibuat oleh bekas perdana menteri Australia Tony Abbott yang berkata pihak berkuasa Malaysia percaya kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu adalah kes juruterbang melakukan pembunuhan-bunuh diri.

Abbott membuat kenyataan menggemparkan itu dalam dokumentari “MH370: The Untold Story yang disiarkan Sky News.

Abbott memberitahu Sky News bahawa seseorang “dari peringkat tertinggi kerajaan Malaysia” memberitahunya “lebih awal, yang mereka (Putrajaya) menganggap ia satu tindakan pembunuhan dan bunuh diri oleh juruterbang”.

“Saya tidak akan memberitahu siapa yang berkata demikian tetapi biar saya ulang, saya mahu ia betul-betul jelas, difahami pada peringkat tertinggi bahawa ia hampir pasti adalah tindakan pembunuhan dan bunuh diri oleh juruterbang,” katanya.

Pesawat MH370 ghaib ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, mencetuskan pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan.

Hanya beberapa serpihan pesawat dijumpai, semuanya di tepi pantai Laut India, dan usaha pencarian berakhir pada 2018.

Zaharie Ahmad Shah adalah juruterbang Boeing 777, yang membawa 239 orang dan majoriti mereka adalah warga China, ketika ia hilang di Laut China Selatan kira-kira 40 minit berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing. – 19 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen