Dr Mahathir bersedia disiasat untuk puaskan hati semua pihak


Dr Mahathir Mohamad sedar ramai ingin melihatnya ke penjara dan pelbagai usaha dilakukan sejak beliau aktif menentang pentadbiran Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2017.

DR Mahathir Mohamad secara sukarela bersetuju untuk disiasat kerana menghasut susulan dakwaan beliau mencetuskan kebencian terhadap keturunan Bugis.

Menerusi video di Facebook rasmi Bersatu hari ini, bekas perdana menteri itu berkata jika ia memerlukannya masuk lokap kerana menentang Najib Razak, beliau rela menerimanya.

“Sejak saya aktif melawan Najib, ramai orang berminat supaya saya diberi pakaian oren dengan perkataan lokap. Jadi, ini satu langkah lagi ke arah itu.

“Kalau polis buat siasatan, saya mungkin kena pakai baju kuning itu dan puas hatilah ramai orang,” katanya dalam video berdurasi satu minit 10 saat.

Video itu turut menyampaikan ucapan Dr Mahathir yang menjelaskan kenyataan “Bugis” pada 18 Oktober semasa program Jelajah Semarak di Kemaman Terengganu.

“Bugis tak semua lanun. Raja kita pun ada keturunan Bugis juga. Saya tidak kata raja kita lanun, yang saya kata ialah Najib,” katanya semasa berucap di sana.

Semalam, Dewan Diraja Selangor mengumumkan ingin Dr Mahathir disiasat kerana menghasut dan dilihat seolah-olah menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, merendahkan dan melihat masyarakat Bugis dengan penghinaan.

Dr Mahathir didakwa membuat kenyataan sedemikian dalam ucapan di perhimpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Petaling Jaya pada 14 Oktober, kata Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais.

Sejak itu, Persatuan Bugis Indonesia menuntut Dr Mahathir meminta maaf atau ia akan mengadakan protes di luar Kedutaan Malaysia di Jakarta, Indonesia.

Pengguna media sosial juga menggesa Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi disiasat kerana menghasut selepas menuduh Dr Mahathir berketurunan India serta menggunakan masyarakat Melayu dan Islam untuk meneruskan karier politiknya.

Video tersebut memperoleh 221 “like” dan 83 perkongsian di Facebook. – 3 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen