PAS di tempat tercorot jika bertanding tiga penjuru


Looi Sue-Chern

DI SEBALIK semua cakap besar dan ancaman, ini realitinya: PAS perlukan Pakatan Harapan (PH).

Dan PH tahu, muktamar PAS hujung minggu ini akan menjadi masa penting bagi parti Islam itu buat keputusan sama ada akan berpakat dengan Umno, pergi bersama PH atau kekal solo.

Maka, bermula sekarang hingga tiba hujung minggu ini, ahli politik PH dijangka memberi tekanan kepada kepimpinan PAS dengan mengeluarkan kenyataan dan dapatan kaji selidik yang menunjukkan parti itu pasti terjejas jika memilih bertanding menggunakan tiket PAS pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini memulakan serangan pertama dengan mendedahkan hasil kaji selidik yang menunjukkan PAS akan tewas dengan Amanah dan ahli terbaru Pakatan Harapan, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika parti Islam itu bertembung dengan salah satu daripada mereka dan Umno pada PRU14.

Amaran sama diberikan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata akan berlaku pertandingan tiga atau empat penjuru jika PAS enggan bekerjasama dengan gabungan pembangkang itu dalam berdepan Barisan Nasional (BN).

Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu malah berkata jika Bersatu membentuk blok ketiga pembangkang bersama PAS iaitu Gagasan Sejahtera, mereka akan kalah dalam PRU.

Invoke Centre yang diasaskan Rafizi hari ini mengeluarkan kaji selidik menunjukkan PAS berada di tempat tercorot jika bertanding tiga penjuru bertemu Amanah dan Bersatu serta Umno pada PRU14.

Kaji selidik itu didedahkan sehari selepas PAS mengancam bekas rakan kerjasamanya dalam PH untuk berebut bertanding tiga penjuru pada PRU14 jika kerusi dipegangnya pada masa ini diganggu.

Dalam kaji selidik mereka terhadap 10,523 pengundi berdaftar, PAS mendapat sokongan terendah daripada pengundi pembangkang dalam pertandingan tiga penjuru.

Invoke bertanya 40 soalan kepada responden dalam kaji selidik yang dijalankan selama dua bulan bermula 6 Februari hingga 6 April tahun ini. Kajian itu membuat panggilan telefon secara rawak kepada 1.67 juta pengundi, dengan 116,922 daripadanya menjawab panggilan. Bagaimanapun, hanya 10,523 menjawab semua 40 soalan.

Kaji selidik itu menunjukkan jika PAS bertanding menentang Amanah ia akan menerima 24.4% berbanding Amanah (44.6%). Umno akan menerima lebih sedikit 10%. Amanah ialah parti serpihak PAS yang diterajui bekas pemimpin PAS, Mohamad Sabu.

Jika berdepan dengan Bersatu dan Umno, PAS akan dapat jumlah lebih kurang – 22.1% berbanding Bersatu (43.2%) dan Umno (7.2%).

Nasib sama menimpanya jika ia bertanding menentang bekas rakan kerjasamanya PKR dan DAP masing-masing dalam pertandingan tiga penjuru melawan Barisan Nasional.

PKR akan menerima 59.6% undi, PAS (23.8%) dan Umno (2.3%). Menentang DAP, PAS akan mendapat 25.9% sementara Umno 5.2%. berdasarkan kajian itu, 57% pengundi Pakatan Rakyat akan mengundi DAP berbanding yang lain.

“Jika pertandingan tiga penjuru berlaku dalam PRU14, sentimen pengundi semakin beralih ke arah pertembungan di antara BN dan Pakatan Harapan,” menurut kaji selidik itu.

Dalam kaji selidik itu, responden yang enggan menjawab soalan berkata mereka belum buat keputusan atau tidak tahu, enggan menjawab atau memilih untuk tidak mengundi.

Dengan 35% responden memilih untuk tidak memberitahu parti yang akan diundi, kelebihan peratus sokongan Umno/BN adalah rendah memandangkan responden yang memilih tidak menjjawab kemungkinan penyokong Pakatan Harapan atau PAS.

Kajian itu juga mendapati dalam kalangan ahli parti pembangkang, ahli PAS kebanyakannya cenderung untuk tidak keluar mengundi jika berlaku pertandingan tiga penjuru.

Hanya 87.2% pengundi PAS akan keluar mengundi, berbanding PKR (94%), DAP (91.4%), Amanah (90.1%) dan Bersatu (90%). Malah, pengundi Umno juga agak tinggi pada 90.3%.

Kaji selidik itu juga menunjukkan tahap sokongan kepada PKR, Umno dan PAS dalam pertandingan tiga penjuru. Umno paling banyak dengan 29.8% diikuti PKR (22.3%) dan PAS (11.2%).

Prestasi PAS juga teruk jika berlaku pertandingan tiga penjuru membabitkan Bersatu dan Umno dengan parti Islam itu hanya peroleh 10.8%. Umno tertinggi dengan 30.5% sementara Bersatu 18.4%.

Bagaimanapun, PAS lebih berpotensi jika berdepan pertandingan tiga penjuru yang membabitkan Amanah. Dengan Umno masih mendahului dalam kalangan pengundi pada 32.2%, Amanah (16.1%) dan PAS (12.5%).

PAS akan mengadakan muktamar tahunannya di Alor Setar bermula 29 April hingga 1 Mei depan. Parti itu juga dijangka akan membincangkan sama ada ia akan memutuskan hubungan dengan PKR, yang akan membuka laluan untuk parti itu berdepan PRU14 secara solo.

Parti itu meninggalkan gabungan pembangkang Pakatan Rakyat pada Jun 2015 selepas pertelingkahan berhubung pelaksanaan hudud dengan DAP.

Menjelang kongres tahunan di Kedah pada hujung minggu ini, kebanyakan bahagian PAS meluluskan resolusi untuk memutuskan hubungan dengan PRK juga. – 25 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen