Bellew akan tinggalkan MAS, kembali ke Ryanair


Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd Peter Bellew akan kembali ke Ryanair, syarikat penerbangannya sebelum menyertai MAS pada 2016. – Gambar AFP, 17 Oktober, 2017.

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd Peter Bellew dijangka kembali ke Ryanair selepas mengetuai syarikat penerbangan negara yang tenat bagi tempoh hanya setahun.

Sebelum ini,  Christoph Muller yang juga CEO warga asing pertama menerajui MAS turut meletakkan jawatan dalam tempoh setahun.

Ryanair, syarikat penerbangan murah Ireland itu dalam satu kenyataan hari ini berkata Bellew akan kembali ke sana sebagai ketua pegawai operasi.

Bellew berkhidmat selama sembilan tahun di Ryanair sebelum menyertai MAS.

Bellew menyertai MAS pada September 2015 sebagai ketua pegawai operasi, dan kemudian sebagai CEO pada Julai 2016.

Bekas pengarah operasi penerbangan Ryanair itu akan menjawat jawatan baharunya pada 1 Disember dan bertanggungjawab bagi operasi penerbangan dan kejuruteraan, latihan dan pembangunan kerjaya, kata syarikat penerbangan itu.

Baru saja pada September lalu, Bellew dilaporkan dalam The Star sebagai berkata beliau akan kekal bersama MAS walaupun timbul spekulasi yang beliau akan kembali ke Ryanair.

Beliau menyertai MAS pada 1 September, 2015 sebagai ketua pegawai operasi susulan pelan penstrukturan semula oleh Khazanah Nasional Bhd yang menyebabkan 6,000 kakitangan MAS diberhentikan.

Bellew mengambil alih tugas daripada Mueller pada 1 Julai, 2016 selepas bekas CEO itu meletakkan jawatan dalam MAS, kurang setahun daripada kontraknya, atas alasan peribadi.

Bellew ialah CEO MAS yang ketiga dalam tempoh dua tahun selepas Mueller dan Ahmad Jauhari Yahya, yang meletakkan jawatan selepas tragedi berkembar, MH370 dan MH17 pada 2014.

Pesawat MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014 sebelum ia hilang. Menurut pakar, pesawat Boeing 777 itu dipercayai terkeluar dari laluannya dan berpatah balik sebelum terhempas di selatan Lautan Hindi.

Ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, penerbangan MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai, 2014 ketika melintasi timur Ukraine, menyebabkan 298 penumpang dan anak kapal maut. – 17 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen