Adib meninggal dunia kerana jenayah, kata koroner


Noel Achariam Chan Kok Leong

Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada 27 November selepas 21 hari dirawat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2019.

MUHAMMAD Adib Mohd Kassim meninggal dunia akibat perbuatan jenayah melibatkan lebih seorang individu yang tidak dikenali, kata Mahkamah Koroner hari ini ketika mengumumkan keputusan inkues menentukan kematian anggota bomba itu.

Koroner Rofiah Mohamad juga merumuskan pihak polis telah gagal bertindak segera mengawal rusuhan semasa kejadian, dan turut menyumbang kepada kematian Adib.

“Saya juga berpandangan pihak polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan telah gagal mengawal rusuhan,” katanya di Mahkamah Koroner yang bersidang di Shah Alam.

Dalam menentukan keputusannya, Rofiah berkata mahkamah menerima teori saksi ke-29, pakar patalogi forensik Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa perusuh menendang pintu van bomba yang mengena dada Adib, sebelum mereka menariknya keluar.

“Oleh itu, teori terpelanting yang dikemukakan saksi ke-24, Dr Ahmad Hafizam Hasmi ditolak sepenuhnya,” kata Rofiah.

Dr Shahrom adalah saksi yang menyangkal laporan bedah siasat ke atas Adib serta keterangan dua pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam dan Dr Mohd Shah Mahmood.

Dua pakar itu semasa inkues memberi keterangan antara lain, corak kecederaan pada Adib tidak padan dengan kecederaan pukulan, dan tiada kesan kecederaan lain yang padan dengan tindakan mempertahankan diri.

Dalam pada itu, Rofiah juga berkata keterangan saksi di tempat kejadian menunjukkan berlakunya perbuatan memukul.

Inkues adalah proses untuk menentukan punca kematian, dan kini terserah kepada pihak Peguam Negara untuk sebagai pendakwa raya untuk menentukan pendakwaan sekiranya pelaku dapat dikenal pasti.

Dalam keputusannya, Rofiah menyerahkan kepada Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dan peguam negara untuk menyiasat dan mendakwa kes berkenaan.

Keputusan hari ini diumumkan selepas inkues berlangsung selama 41 hari bermula 11 Februari lalu, dengan 30 saksi memberi keterangan dan 137 eksibit diterima oleh mahkamah.

Inkues dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin sementara keluarga Adib diwakili peguam Syazlin Mansor, Yahaya Othman, Kamaruzaman A Wahab dan Ahmad Taufiq Baharum.

Adib, 24, anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan dekat Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara. – 27 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen