Exco Johor didakwa 33 tuduhan rasuah


Bekas exco Johor Abd Latiff Bandi dibawa ke kompleks mahkamah di Johor Baru hari ini untuk didakwa atas 33 tuduhan rasuah. – Gambar The Malaysian Insight, 19 April, 2017.

EXCO Johor Abd Latiff Bandi didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Baru hari ini dengan 33 pertuduhan kes rasuah membabitkan nilai RM30 juta, lapor The Star.

Bekas pengerusi jawatankuasa perumahan dan kerajaan tempatan Johor itu didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut The Star seorang lagi individu, Amir Sharifuddin Abdul Raub turut didakwa bersama Latif, atas 33 pertuduhan yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah SRPM Masri Mohd Daud dengan dibantu Raja Amir Nasruddin.

Latif diwakili peguam Hasnal Rezua Merican.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM2 juta dengan seorang penjamin setiap seorang. Kedua-dua tertuduh juga diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pada 16 Mac, Latif dibebaskan dengan jaminan SPRM berjumlah RM200,000 selepas ditahan seminggu sebelumnya bagi membantu siasatan SPRM berhubung skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri itu.

Dalam kes itu, tujuh individu ditahan, termasuk anak dan pegawai khas Latif. – 19 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen