MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Low Taek Jho meminta pembantu-pembantu kanan Najib Razak mendapatkan pegawai kerajaan termasuk bekas perdana menteri itu sendiri untuk memberitahu yang beliau tidak terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low berbuat demikian selepas berita mengenai skandal 1MDB diketahui umum pada 2015.
Low didakwa memberitahu bekas ketua setiausaha sulit Najib, Azlin Alias dan bekas pegawai khas Amhari Efendi Nazaruddin supaya mengeluarkan kenyataan mengenai soalan yang sering ditanya (FAQ) mengenai isu 1MDB.
“Dalam FAQ itu, Jho Low mahu kami beritahu yang dia tidak terlibat dengan 1MDB,” kata Amhari, saksi kelapan dalam perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi, hari ini.
“Ia sepatutnya menjadi kenyataan tersirat bagi individu penting. Ia juga untuk mengatakan bahawa Datuk Seri Najib juga cakap begini,” katanya ketika disoal balas oleh Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan.
Amhari, 42, berkata beliau tidak ingat sama ada Low memegang sebarang jawatan rasmi dalam 1MDB.
Apabila ditanya oleh Shafee mengenai “ingatannya yang teruk” kerana juga tidak ingat beberapa peristiwa seperti tarikh beliau ditahan pada tahun lepas, Amhari berkata beliau mengingati kata-kata Low semasa pertemuan sulit.
“Yang ini lain. Saya gementar tengok bagaimana Datuk Seri Najib jawab.
“Saya ingat (beritahu Najib) bahawa elok dinyatakan oleh orang penting dalam 1MDB, pegawai berpengaruh dan perdana menteri sendiri harus sebut yang Jho Low tidak memegang apa-apa peranan dalam 1MDB.”
Shafee kemudiannya menuduh Amhari berbohong dalam keterangan saksinya. Terdahulu, peguam itu juga memberitahu mahkamah yang Amhari disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menegaskan yang secara teknikalnya saksi itu dibebaskan dengan jaminan. – 10 September, 2019.
Komen