Semua Cina adalah DAP, dan semua DAP akan masuk neraka?


Izmil Amri

KARIKATUR beruk yang disiarkan akhbar Nanyang Siang Pau mengundang kemarahan ramai penyokong PAS. Meskipun speaker Dewan Rakyat turut digambarkan sebagai seekor beruk memakai songkok, orang ramai lebih meradang dengan gambaran beruk berserban yang ditinggalkan sendirian dengan sebiji ubi keledek panas.

Jenaka keledek panas itu juga tidak dapat ditangkap umum, kecuali kalau memahami pepatah Cina mengenainya. Peribahasa Cina tentang memberi keledek panas, ertinya memberi sesuatu yang susah untuk ditangani. Ini tidak perlu dijelaskan dengan panjang lebar.

Pelukis menggambarkan proses penggubalan undang-undang di Parlimen seakan beruk mempermainkan undang-undang. Karakter [ 猴子戏法 ] secara amnya bermaksud “kera bermain helah” dan merupakan bidalan biasa dalam kehidupan masyarakat Cina. Namun dalam hal ini, karakter [ 法 ] juga membawa maksud undang-undang.

Pelukis mungkin cuba bermain-main dengan karakter Cina dengan menggambarkan episod tangguh bahas RUU 355 adalah seperti kera mempermainkan undang-undang. Fokus untuk menggambarkan bidalan Cina tersebut barangkali hilang sama sekali apabila semua orang menumpukan perhatian kepada dua kera di atas pokok itu.

Tapi itulah. Beruk juga yang dipilihnya. Macam dah tak ada binatang lain.

Namun apa yang lebih menggelikan hati ialah bagaimana dengan pantasnya jentera propaganda pihak tertentu menyebarkan betapa biadabnya karikatur akhbar Nanyang Siang Pau, dengan menulis perkatan BiaDAP menggunakan akronim DAP, bersekali dengan lambang roketnya.

Sejak bila pula Nanyang Siang Pau dimiliki DAP? Eh takkanlah semua yang Cina perlu disabitkan dengan DAP? Bukankah itu pemikiran bodoh, jelik dan tidak berakal?

Akhbar Nanyang Siang Pau (selepas ini disebut NSP) ditubuhkan pada 1923 di Singapura, dan merupakan antara akhbar berbahasa Cina paling tua dalam negara. Ia tidak pernah berhenti terbit kecuali untuk tempoh empat bulan pada 1923-1924, apabila penjajah British menggantung penerbitannya kerana terlibat dalam politik kepartian.

Ketika Perang Dunia Kedua, NSP terhenti penerbitannya sepanjang 1942 hingga 1945. Ia hidup semula pada 8 September 1945.

NSP juga mencatat sejarah sebagai akhbar harian berbahasa Cina pertama tersenarai di Bursa Malaysia, dan akhbar paling laku sebelum dipintas Sin Chew.

Tapi itu semua sejarah yang sudah terlalu lama. Kita pastinya lebih berminat dengan sejarah lebih sezaman, contohnya bagaimana pada 29 Mei 2001, Nanyang Press dibeli oleh Huaren Holdings, sayap pelaburan Partai Cina Malaysia, MCA.

Nanyang Press kini berpayung di bawah Media Chinese International Limited sejak April 2008 dipengerusikan Tan Sri Datuk Tiong Hiew King yang kebetulan orang kuat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). SUPP ini, secara mudahnya semacam MCA lah di Sarawak. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Lalu, kenapakah DAP yang dimaki hamun?

Jawapannya mudah saja. Kerana lebih mudah membingkai musuh dengan satu nama dan label, lebih baik lagi sekiranya nama dan label itu juga sarat nilai. Membungkus akhbar Cina dalam parameter DAP, Cina, kafir, makan babi (contohnya lagi) cara mudah untuk memadatkan sasaran.

Kan senang kerja begitu? Semua Cina adalah DAP, semua yang DAP menentang Islam, dan semua yang menentang Islam masuk neraka. Khalas.

Ini dilakukan Timbalan Ketua Ulama Muslimin Sedunia dalam satu ceramahnya di Rusila beberapa hari lalu sebaik saja mengumumkan dirinya berjaya diberi kepercayaan wakil rakyat beragama Islam daripada parti kerajaan untuk membentangkan usul persendirian bagi meminda Akta 355.

Abdul Hadi Awang, selain melemparkan tuduhan dan kata-kata kesat sempat membingkai para penentang RUU 355 sebagai musuh Islam, dan mereka yang menyokong usaha terbabit sebagai kawan orang Islam.

Hadi mungkin saja membaca tulisan George Lakoff, “Don’t Think of an Elephant! Know Your Values and Frame the Debate” sebelum mempraktikkan kemahiran membingkai ini.

Cara Hadi membingkai hujah RUU 355 dalam ceramah sepanjang setengah jam itu memang sangat cemerlang dan harus dipuji. Membingkai hujah dengan kekisi agama adalah cara yang amat ampuh untuk mengolah persetujuan.

Kalaulah Hadi diberi kontrak untuk memasarkan air Milo yang dibancuh dengan air zam zam misalnya, Hadi mungkin akan kata “Belilah Milo ni. Siapa tak beli, kita tahu dia musuh Islam, dan siapa beli, kita tahu dia kawan orang Islam”.

Orang tak akan peduli pun soal Milo bancuh dengan air jenis apa pun tetap menjadi air Milo. Dan orang akan tambah tidak peduli pun taukey milo tu presiden Umno, atau Malaysian Official 1 atau Jho Low.

Sama seperti orang tidak peduli Nanyang Siang Pau itu sebenarnya bukan akhbar DAP pun. Inilah kuasa kemahiran membingkai. – 15 April, 2017.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Lojik pengarang BAGUS. Juja penyelidekan untuk komen ini

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Dr. Patricia Martinez · Ulasan