Senator Pakatan tampil perjelas dakwaan ugut Tok Batin


Undian Orang Asli menjadi penentu pada PRK Cameron Highlands yang akan berlangsung pada 26 Januari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2019.

SENATOR Pakatan Harapan Bob Manolan menafikan dakwaan beliau mengugut ketua kampung Orang Asli (Tok Batin) di Cameron Highlands agar mengundi kerajaan persekutuan pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu 26 Januari ini jika tidak mahu gaji mereka disekat.

Manolan berkata kenyataan sebenar beliau pada sesi dialog bersama Orang Asli pada awal pagi ini adalah Tok Batin tidak wajar mengekalkan jawatan mereka jika mempunyai kedudukan dalam parti Umno.

“(Jika) Tok Batin menjalankan aktiviti politik dan partisan Umno dan pada masa yang sama menerima elaun daripada kerajaan persekutuan sebagai Tok Batin, (ia) merupakan satu percanggahan kepentingan atau conflict of interest.

“Dalam keseluruhan kenyataan saya, tidak pernah saya menyatakan amaran atau ugutan yang berbunyi tiada undi tiada bayaran, ataupun “no vote, no pay”,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, portal Malaysiakini melaporkan Manolan memberi amaran kepada Tok Batin agar menyokong PH dalam PRK Cameron Highlands atau mereka kehilangan jawatan dan gaji.

Beliau didakwa sebagai berkata bahawa Tok Batin perlu setia kepada kerajaan persekutuan memandangkan gaji mereka dibayar oleh Putrajaya.

Dalam kenyataannya, Manolan menjelaskan bahawa beliau diajukan soalan oleh peserta tentang pihak yang membayar gaji atau elaun Tok Batin.

“Jawapan saya adalah Kerajaan Persekutuan yang membayar (gaji mereka). Oleh itu kepada tok-tok batin yang masih sayang jawatan mereka sebagai ketua cawangan Umno, (perlu) letak jawatan sebagai Tok Batin.” katanya,

“Sehubungan  itu, saya berharap kenyataan ini dapat menjelaskan kekeliruan dan salah faham yang ditimbul.” – 11 Januari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen