BEBERAPA pemimpin Umno hari ini menyatakan hilang kepercayaan kepada kepimpinan Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi selain kepentingan kebajikan rakyat sebagai antara alasan mereka meninggalkan parti berkenaan.
Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin yang mengumumkan keluar daripada parti itu hari ini berkata lebih ramai ahli Umno akan meninggalkan parti tunjang Barisan Nasional itu sekiranya Zahid tidak berundur sebagai presiden parti.
Menurut Zulkifli Bujang, pegawai khas Hamzah, bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu memberi amaran berkenaan berdasarkan desakan majoriti ahli parti kebelakangan ini.
Hamzah, menurutnya, kecewa dengan cara bekas timbalan perdana menteri itu mengendalikan isu berkenaan sehingga menjadi krisis kepada parti dan menyebabkan ramai hilang kepercayaan kepadanya serta parti.
“Kalau seandainya presiden tidak dengar atau tidak ambil pandangan ini, ramai lagi ahli parti atau anggota Parlimen akan keluar Umno” katanya.
Menurut laporan media hari ini, bekas menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan itu dipetik sebagai berkata beliau difahamkan terdapat kira-kira 10 lagi ahli Parlimen Umno bersedia meninggalkan parti dalam masa 10 hari lagi, sekiranya Ahmad Zahid tidak melepaskan jawatannya.
Zulkifli dalam pada itu memaklumkan, bahawa surat peletakan jawatan Hamzah sebagai ketua Umno Bahagian Larut, sekali gus meninggalkan parti itu, diserahkannya kepada pegawai Setiausaha Agung Umno Annuar Musa di Ibu Pejabat Umno, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 3.50 petang tadi.
Dalam isu sama, selepas desakan Pemuda Umno Sabah semalam, hari ini Umno Bahagian Sungai Besar turut mendesak Ahmad Zahid Hamidi agar segera melepaskan jawatannya.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos berkata walaupun Umno bahagian itu dianggap penyokong kuat Zahid, namun kini ahli bahagian itu sebulat suara menarik balik sokongan terhadap presiden Umno itu selepas beliau dilihat tidak mampu dan sangat lemah dalam menangani krisis parti.
Selain itu, Pemuda Umno Alor Setar hari ini turut mengambil pendirian sama seperti Pemuda Umno Sabah yang mendesak agar Zahid melepaskan jawatannya sebagai presiden parti itu.
Ketuanya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sebagai mewakili suara akar umbi parti yang semakin gelisah dengan krisis yang melanda Umno, pihaknya berpendapat tindakan itu demi kelangsungan dan hala tuju parti.
Terdahulu Ketua Penerangan Umno Shamsul Anuar Nasarah mengesahkan enam ahli Parlimen Umno keluar daripada parti itu hari ini.
Selain Hamzah, mereka ialah Ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz; Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor) ; Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Dr Latiff Ahmad (Mersing).
Selain Ikmal Hisham yang membuat pengumuman di hadapan kira-kira 800 penyokong hari ini, Shabudin dan Rosol masing-masing mengesahkan keputusan mereka itu ketika dihubungi Bernama.
Berlainan dengan Hamzah, Ikmal Hisham dan Shabudin yang masing-masing enggan mengulas mengenai penyertaan mereka ke mana-mana parti, Rosol berkata beliau telah menyerahkan borang untuk menyertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau turut mendakwa borang berkenaan diserahkan semalam, bersama-sama lima lagi ahli Parlimen Umno yang memutuskan untuk keluar daripada parti.
“Tunggu sahajalah sama ada diluluskan oleh Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad atau tidak,” katanya menambah bahawa keputusannya itu tidak dibuat secara tergesa-gesa dan paksaan tetapi telah diperhalusi sebaiknya.
Katanya, biarpun sedih, beliau nekad dengan keputusannya dan tidak akan berpaling lagi, semata- mata untuk menjaga kebajikan rakyat yang dahagakan pembelaan daripada wakil rakyat yang mereka pilih.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Musa Sheikh Fadzir ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya bersama Umno Tasek Gelugor akan membuat sidang akhbar berhubung Shabudin, pukul 11 pagi, esok. – Bernama, 14 Disember, 2018.
Komen