Adun Upko keluar parti, tak setuju tinggalkan BN


Jason Santos

Adun Nabawan Bobbey Suan tak setuju dengan tindakan Upko keluar BN dan berpakat dengan Warisan-Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan Sabah. – Gambar Facebook, 5 November, 2018.

PERTUBUHAN Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) hari ini mengumumkan ia menerima permohonan keluar parti Adun Nabawan Bobbey Suan.

Suan menyerahkan surat keluar parti kepada Upko Julai lalu kerana enggan mengikut parti meninggalkan Barisan Nasional selepas pilihan raya umum Mei.

Parti itu menang lima kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen.

Presiden Upko Wilfred Madius Tangau mengumumkan yang parti itu akan mengadakan pakatan dengan Warisan, sekutu Pakatan Harapan pada 10 Mei, tidak lama selepas keputusan rasmi pilihan raya diumumkan.

Tindakan Upko keluar BN membolehkan Warisan-PH membentuk kerajaan Sabah.

Empat lagi Adun Upko ialah Abidin Madingkir (Panginatan), Ewon Benedick (Kadamaian), Limus Jury (Kuala Penyu) dan Masiung Banah (Kuamut).

Tangau hari ini berkata beliau menerima surat keluar parti Suan selepas empat bulan cuba memujuknya kekal bersama Upko.

“Beliau bertegas dengan keputusan meninggalkan parti, dan kerana itu majlis tertinggi parti menghormati keputusannya dan menerima permohonannya meninggalkan parti,” katanya.

Suan tidak menyatakan rancangannya, tetapi beliau dilihat menghadiri beberapa majlis BN.

Suan kini adalah Adun bebas di Sabah bersama-sama bekas pemimpin Umno Anifah Aman (Parlimen Kimanis) dan Saddi Abdul Rahman yang merupakan Adun Sukau. – 5 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen