DI bawah pentadbiran baharu Pakatan Harapan (PH), Melayu jadi pendendam dan saling bermusuhan dengan sesama Melayu, kata isteri kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum penahanannya petang ini.
“Melayu sekarang musuh kepada orang Melayu, akibat membalas dendam. Jika ini berterusan, bangsa dan agama kita akan musnah,” kata Hamidah Khamis menerusi satu kenyataan audio yang diperoleh The Malaysian Insight.
Hamidah berkata pertembungan politik di antara pemimpin daripada keluarga politik “yang memerintah negara ini selama enam dekad” menghakis martabat orang Melayu.
Beliau menggesa PH untuk fokus kepada usahanya dalam meneruskan pembangunan negara selepas ia memenangi kuasa persekutuan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), lima bulan lalu.
“Kepada Pakatan Harapan, Allah sudah berikan kepercayaan dan tanggungjawab. Tadbirlah negara ini. Tetapi malangnya, seperti yang kita ketahui masih ada semangat membalas dendan,” katanya.
Beliau juga menggesa rakyat Malaysia mempertahankan suaminya yang dijangka akan didakwa esok.
“Demi anak cucu kita, bangsa dan agama..kepada mereka yang ambil berat tentang pemimpin kita, bersabarlah.
“Terus bersama dan menyokong presiden Umno kita. Beliau difitnah. Jangan jual maruah anda dan dipergunakan oleh orang lain.”
Terdahulu Zahid diberikan notis untuk hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya petang ini.
Bekas timbalan perdana menteri itu disoal siasat oleh SPRM minggu lalu, tiga hari berturut-turut, selama beberapa jam setiap harinya.
Beliau dijangka ditahan hari ini dan didakwa esok atas dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan yayasan amal diuruskan keluarganya, Yayasan Akal Budi di mana beliau ialah pengerusinya.
Dilaporkan, sebanyak RM800,000 diselewengkan daripada yayasan itu untuk membayar bil kad kredit milik Zahid dan isterinya. – 18 Oktober, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Teruna Kelana · Ulasan