KERJA menggali semula kubur jenazah ketua pegawai eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan dimulakan di tapak perkuburan Islam Kota Damansara, pagi ini.
Polis mengawal kawasan menuju ke tapak perkuburan itu dan hanya membenarkan ahli keluarga terdekat si mati masuk ke situ.
Ahli keluarga dan peguam kepada balu Nazrin, Samira Muzzafar kelihatan berada di kawasan itu tetapi mereka enggan bercakap dengan media.
Kenderaan membawa jenazah dilihat memasuki ke tapak perkuburan pada kira-kira 9.20 pagi diikuti dengan van polis forensik.
Kerja penggalian semula itu dilakukan selepas adik Nazrin membuat laporan polis, mendakwa terdapat kecacatan dalam laporan bedah siasat pertama yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur.
Adik-beradik Nazrin mendesak supaya bedah siasat kedua dijalankan oleh pakar patologi bebas untuk mencari punca kematian Nazrin selepas polis mengklasifikasikan kematiannya sebagai kes bunuh.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan malam tadi, peguam keluarga Samira berkata anak guamnya dan keluarga menyokong penuh siasatan dilakukan terhadap kematian Nazrin.
Bagaimanapun katanya, penggalian semula kubur untuk mendapatkan jenazah si mati adalah perkara serius dari sudut pandangan undang-undang dan hak Islam.
“Rujukan dibuat kepada Deklarasi Kaherah terhadap Hak Asasi Manusia Dalam Islam. Sebagai penasihat dan peguam cara berkelayakan (pada masa ini tidak terlatih), anak guam kami mahu memastikan sebarang proses untuk membuka semula kubur itu perlu dijalankan mengikut kedaulatan undang-undang, prosedur sedia ada dan standard etika tertinggi.
“Semakan anak guam kami terhadap perintah Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober untuk menggali semula kubur suaminya bagi tujuan bedah siasat kedua menyebabkan Mahkamah Tinggi bersetuju bahawa peruntukan undang-undang yang salah dibentangkan kepada majistret.
“Anak guam kami percaya mana-mana kesilapan undang-undang dan prosedur dalam proses penggalian semula itu akan hanya menjejaskan siasatan terhadap kematian suaminya dan keadilan terhadap hak si mati serta kesucian kuburnya,” kata peguam.
Nazrin dijumpai mati selepas bilik tidur rumahnya teres miliknya di Mutiara Damansara dijilat api pada 14 Jun, sehari sebelum Hari Raya.
Keluarganya mengatakan telefon bimbit meletup sebagai punca kebakaran itu. Cradle Fund turut memberikan kenyataan mengatakan CEO itu meninggal dunia berikutan letupan berpunca telefon bimbit yang sedang dicas di sebelah katilnya.
Bulan lalu, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh selepas penyiasat mendapati ada kesan petrol di bilik tersebut.
Abang Nazrin, Dr Malek Hassan yang melihat jenazah selepas bedah siasat pertama, memberitahu The Malaysian Insight beliau nampak kecederaan di bahagian kiri kepala yang terlalu besar dan dalam berpunca daripada objek tumpul, dan ia bukan seperti telefon bimbit.
Pemerhatian itu, dan dengan klasifikasi daripada polis, menyebabkan Dr Malek membuat laporan polis dua minggu lalu menggesa pihak berkuasa menggali kubur Nazrin untuk bedah siasat sekali lagi.
Siasatan polis setakat ini, menahan Samirah, eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia, bekas suaminya, dua anak lelaki mereka, kakak ipar Nazrin dan suaminya. Semua dilepaskan dengan ikat jamin. – 8 Oktober, 2018.
Komen