Siasatan RM42 juta SRC International dijangka selesai sebulan


Diyana Ibrahim

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali mengakui siasatan berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan ketika ditemui media di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 Mei, 2017.

SIASATAN pemindahan dana RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadi Perdan Menteri Najib Razak dijangka selesai dalam tempoh sebulan, kata Peguam Negara Mohamed Apandi Ali.

“Saya rasa kes itu akan selesai dalam tempoh sebulan, paling terkini kita boleh kata begitu,” katanya kepada media hari ini selepas menghadiri Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Undang-Undang Asean 2017 (Aslom) di Putrajaya.

Sebelum ini, The Malaysian Insight melaporkan Apandi berkata tidak pernah mengarahkan siasatan dana SRC International di mana sebahagian daripada jumlah itu disalurkan kepada akaun perdana menteri ditutup.

Mengulas lanjut, Apandi berkata tidak tahu mengenai isi kandungan siasatan tersebut yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya tidak tahu apa keputusan siasatan tersebut tapi sebahagian arahan saya adalah untuk menutup siasatan.”

Dilaporkan SRC International memindahkan RM42 juta ke dalam akaun bank peribadi Najib antara Disember 2014 dan Februari 2015 melalui anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn Bhd dan syarikat berasingan, Ihsan Perdana ialah syarikat swasta yang ditubuhkan untuk menguruskan sumbangan “tanggungjawab sosial korporat” 1MDB. – 15 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments