60 NGO bergabung sampaikan 30 tuntutan orang Melayu


Diyana Ibrahim

Pengerusi Bertindak, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata tuntutan berkenaan adalah untuk memperkasakan kaum Melayu dan Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Mei, 2017.

LEBIH 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergabung bagi mengemukakan 30 tuntutan orang Melayu melalui perhimpunan “Melayu Bangkit” yang bakal diadakan Julai ini.

Bergerak di bawah sekretariat dikenali sebagai Bertindak, pengerusinya Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata tuntutan berkenaan adalah untuk memperkasakan kaum Melayu dan Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan negara.

“Walaupun ia sudah termaktub dalam Perlembagaan, kami masih bimbang kerana tidak nampak ketegasan pelaksanaannya,” kata beliau semasa mesyuarat kumpulan itu di Kampung Baru malam tadi.

Menurutnya, antara tuntutan adalah menyatakan sokongan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah.

Selain itu, katanya tuntutan yang bakal dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Najib Razak juga membantah pindaan RUU Perkahwinan dan Penceraian 1976 atau Akta 164.

Beliau turut menjamin perhimpunan yang bakal diadakan itu tidak akan mencetuskan sebarang masalah dan memastikan tidak berlaku sebarang pelanggaran undang-undang.

“Kalau nak kata perhimpunan ini ‘panas’, ia hak semua orang. Apa yang penting cara ia dikendalikan.

“Kita tidak akan berarak, hanya berhimpun. Justeru, kita rancang mengadakannya di satu tempat sahaja iaitu di Stadium Melawati.”

Antara tuntutan lain ialah membantah pengiktirafan sijil UEC yang dilihat mampu mengugat sistem pendidikan negara dan bahasa Melayu.

Negara sejak kebelakangan ini berhadapan beberapa insiden ketegangan kaum antara Melayu, Cina dan India.

Terbaru, kes jemaah surau di Johor memukul seorang pemandu Cina kerana bertindak membunyikan hon disebabkan laluannya terhalang semasa solat Jumaat.

Antara NGO yang membarisi seketariat Bertindak ialah Perkasa, Isma, Permas dan GPMS. – 14 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments