DAP akan mencabar keputusan kelayakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pujut, Dr Ting Tiong Choon di Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Kepimpinan parti negeri memutuskan untuk membawa kes itu ke mahkamah dan “melihat segala kemungkinan yang ada menerusi undang-undang” selepas mesyuarat di ibu pejabatnya di Kuching pada malam Jumaat.
Ting, 51, merupakan doktor perubatan yang dipilih menduduki kerusi majoriti Cina di Miri pada pilihan raya negeri tahun lepas, hilang kelayakan kerana pernah menjadi warganegara Australia.
Kehilangan kelayakan ini adalah yang pertama bagi mana-mana ahli Parlimen di negara ini.
Ia berpandukan Pasal 17 (1) (g) Perlembagaan negeri Sarawak yang menyatakan “seseorang itu hilang kelayakan menjadi ahli dipilih bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika dia secara sukarela memperoleh kewarganegaraan, atau menggunakan hak kewarganegaraan, atau membuat akuan setia kepada mana-mana negara di luar Persekutuan (Malaysia)”.
Ting, sebelum ini menetap di Australia selama 20 tahun bersama keluarganya, menerima kewarganegaraan Australia pada 2010.
“Parti berasa kita perlu mencabar apa yang berlaku di DUN semalam (Jumaat),” katanya kepada The Malaysian Insight sebelum mengambil penerbangan pulang ke Miri.
Beliau berkata parti itu berasa ada “sesuatu yang tidak kena” dan ingin “melihat bagaimana mahkamah menafsirkannya (hilang kelayakan)”.
“Ini adalah perkara baru kepada semua orang.
“Kami tidak tahu apa undang-undang sebenar katakan mengenai [Artikel 17 (1) (g)] atau sama ada DUN boleh membatalkan penyertaan ahli begitu sahaja.”
Pada Jumaat, Ketua DAP negeri Chong Chieng Jen memberitahu pemberita di DUN “mereka sedang mengkaji kemungkinan melakukan cabaran undang-undang”.
Semasa perbahasan Jumaat, Chong berhujah forum yang betul untuk mendengar kehilangan kelayakan itu adalah mahkamah, dan bukan badan perundangan di mana Barisan Nasional (BN) memegang majoriti lebih dua pertiga di Dewan Undangan Negeri dengan 81 kerusi.
BN mempunyai 71 kerusi dan DAP tujuh termasuk Pujut dan PKR tiga.
Beliau menyifatkan tindakan pelucutan itu sebagai “tindakan kekerasan” dilakukan BN yang memerintah kerana ia sepatutnya dilakukan badan lebih bebas bagi membuat keputusan mengenai sama ada Ting melanggar peruntukan Perlembagaan atau sebaliknya.
Tujuh belas wakil rakyat BN mengundi menyokong pelucutan kelayakan Ting berbanding 10 wakil rakyat pembangkang menentang pada Jumaat lepas.
Usul itu dibentangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang, Wong Soon Koh.
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg, yang tiada di dalam Dewan, tidak mengundi. – 14 Mei, 2017.
Comments