Ting dakwa dendam politik punca pemecatan, bukan dua kerakyatan


Desmond Davidson

Dr Ting Tiong Choon yakin sepenuhnya pemecatan beliau daripada Dewan Undangan Sarawak berpunca daripada dendam peribadi dalam politik.. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Mei, 2017.

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pujut Dr Ting Tiong Choon pasti pemecatannya daripada Dewan Undangan Sarawak bermotifkan dendam.

“Saya 100% pasti ia adalah dendam peribadi politik, membalas dendam,” kata doktor perubatan berusia 51 tahun itu yang kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat.

Hii King Chong, yang kalah dengannya dalam pertandingan empat penjuru bagi kerusi majoriti Cina di Miri pada pilihan raya negeri tahun lepas, mulanya membatalkan kelayakan Ting di Mahkamah Pilihan Raya pada 7 Mei tahun lepas atas alasan Ting sebelum ini warganegara Australia.

Hii, yang memperoleh 7,140 undi berbanding 8,899 yang dimenangi Ting, adalah daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang pro-Barisan Nasional (BN) tetapi kerana ia bukan ahli daripada empat parti gabungan BN, beliau diletakkan sebagai “calon BN” secara langsung – penyelesaian biasa bagi aturan politik BN Sarawak yang bermasalah.

“Mereka (Hii dan UPP) cuba merampas kerusi Pujut dan tidak berputus asa,” kata Ting.

Petisyen Hii, bagaimanapun tidak berjaya selepas gagal mendepositkan wang tunai RM10,000 kepada mahkamah seperti dikehendaki undang-undang. Beliau membayar deposit dengan cek sebaliknya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Wong Soon Koh, yang juga presiden UPP, mengemukakan usul terhadap Ting pada Jumaat.

Beliau memetik Perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Sarawak yang menyatakan “seseorang itu hilang kelayakan menjadi wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri jika secara sukarela memperoleh kewarganegaraan, atau menggunakan hak kewarganegaraan, atau membuat akuan setia kepada mana-mana negara di luar Persekutuan (Malaysia).”

“Saya melihat maklumat dan kononnya bukti yang diserahkan kepada Dewan Undangan Negeri,” kata Ting.

“Ia sama seperti yang digunakan dalam petisyen mahkamah.

“Kehilangan kelayakan saya bermotifkan politik dan bukannya satu perkara mulia seperti menegakkan undang-undang.”

Tidak menyesal

Ting berkata ramai kawannya bertanya jika beliau menyesal melepaskan kerakyatan Australia yang mungkin memberinya kehidupan lebih baik.

Pihak berkuasa Australia pada 4 April tahun lepas mengesahkan Ting melepaskan status kewarganegaraannya.

“Selepas apa yang berlaku semalam (Jumaat), banyak perkara yang saya fikirkan. Tetapi saya boleh memberitahu anda yang kembali ke Australia bukan salah satu daripadanya.”

Kembali ke Australia mungkin menjadi tindakan paling logik untuk Ting dilakukan. Ia di mana isteri dan empat anaknya berada. Tiga daripada anaknya menuntut di universiti.

“Itulah dilema saya. Mereka berada di sana dan saya di sini. Tetapi pendidikan lebih penting.”

Ia menjadi punca utama mengapa Ting ke Australia pada 1985. Selepas menamatkan sijil tinggi pelajaran, beliau menyambung pengajian di Universiti New South Wales untuk belajar perubatan.

Pengajian beliau dibiayai bapanya yang juga ahli perniagaan dan empat abang dan kakaknya. Semasa di sana, Ting bertemu dan berkahwin dengan isterinya yang merupakan warga Taiwan.

“Saya sentiasa mahu kembali dan menetap di Sarawak tetapi saya mendapati mungkin berhadapan kesukaran imigresen dengan isteri saya yang mempunyai kewarganegaraan luar.

“Beliau perlu meninggalkan negeri setiap tiga bulan kerana hampir tiada peluang untuknya mendapatkan taraf penduduk tetap dalam masa 10 tahun.”

Justeru, mereka mengambil keputusan menetap di Australia, di bandar pertanian luar bandar Kempsey – kira-kira 345km ke utara Sydney – di mana tiga daripada anaknya dilahirkan.

Ting memulakan amalan perubatan di sana dan pada 2010, mengambil kerakyatan Australia.

Dua dilema

Tidak menyedari undang-undang Malaysia yang tidak membenarkan dua kerakyatan, Ting berkata beliau mengekalkan kerakyatan negara ini.

“Saya seorang doktor, bukan peguam, dan tidak tahu isu dua kerakyatan atau ada undang-undang melarangnya.

“Saya kemudian mendapati tiada undang-undang yang memerlukan saya melaporkan kepada pihak berkuasa dan melepaskan kerakyatan Malaysia selepas saya mendapat kerakyatan Australia.

“Namun begitu saya sentiasa mencari jalan untuk kembali ke Malaysia.”

Selepas 20 tahun di Australia, peluang itu datang apabila beliau dihubungi TalentCorp, perbadanan di bawah Jabatan Perdana Menteri, agar pulang ke tanah air sebagai doktor.

Ting berkata keinginan pulang ke tanah air sangat kuat.

“Ayah saya sakit dan saya mengambil berat tentang perkembangan politik di tanah air.”

Bapanya yang berusia 81 tahun bagaimanapun meninggal dunia sebelum anaknya kembali.

“Anaknya, yang dibelanjakan begitu banyak wang supaya menjadi seorang doktor, tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantunya.

“Ia membuatkan saya lebih berazam untuk pulang ke tanah air dan membantu orang lain kerana tidak dapat membantu ayah saya.”

Kepulangan

Sebelum kembali, beliau melepaskan kerakyatan Australia yang selesai pada April tahun lepas. Sebulan kemudian, beliau menjadi calon DAP bagi kerusi Pujut dalam pilihan raya negeri.

Kini tanpa pekerjaan, Ting berkata beliau tidak akan duduk diam sahaja.

“Banyak yang perlu saya lakukan. Ada pilihan raya kecil yang kemungkinan diadakan bagi kerusi kosong saya dan pilihan raya umum akan datang.

“Anda boleh bertaruha, saya akan bekerja keras untuk calon DAP bagi kerusi Pujut atau calon Pakatan di kerusi Parlimen Miri.

“Ini akan mengambil banyak masa saya. Selepas pilihan raya dan selepas semuanya selesai, mungkin ketika itu saya akan berfikir tentang apa yang perlu dilakukan seterusnya. “

Mungkinkah beliau akan meneruskan amalan perubatannya di Miri?

“Mungkin. Saya perlu berbincang dengan isteri saya terlebih dahulu.”

Buat masa sekarang, suasana baginya masih sama, cuma tanpa gelaran “YB” (Yang Berhormat) yang disandang bagi seorang wakil rakyat. – 14 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments