SPEAKER Dewan Rakyat Pandikar Amin Pandikar menafikan sebarang penyalahgunaan kuasa apabila tidak membenarkan RUU355 dibahas semasa dibentangkan pada 6 April lalu.
“Astagfirullah tidak ada salah guna kuasa” katanya semasa ditemui wartawan ketika menghadiri Persidangan Speaker Parlimen dan Dewan Undang Negeri Seluruh Malaysia 2017 di Shah Alam, hari ini.
Pandikar berkata, tuduhan itu tidak berasas memandangkan dirinya mempunyai kuasa sebagai speaker untuk menghentikan atau menyambung perbahasan.
Pandikar dikritik hebat selepas menghentikan debat mengenai RUU355 atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 selepas membenarkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang membentangkan usul tersebut.
Tindakan itu dilihat menyalahgunakan proses Parlimen dan dianggap mempunyai kepentingan politik.
Tambah Pandikar, tindakannya tidak membenarkan debat diteruskan bagi RUU355 memandangkan beliau bersama timbalan lain kepenatan kerana bersidang hingga lewat malam sehari sebelum sidang dibahaskan.
“Selepas itu apabila apabila RUU dibentang Yang Berhormat Abdul Hadi Awang dan mendapat sokongan daripada Kota Baru langkah seterusnya saya ialah mohon bahas.
“Bagaimanapun, ketika itu saya fikir kalau saya mohon untuk membahaskannya tetapi pada sidang sebelum itu, ia berlarutan hingga jam lima pagi dan saya serta timbalan terpaksa meneruskan persidangan. Jadi, bagaimana kami hendak meneruskan tugas selepas itu, terutamanya pada rang undang-undang penting seperti ini?”
Beliau merujuk kepada persidangan Parlimen paling lama yang bermula 10 pagi dan berakhir 5.05 pagi keesokkan harinya bagi pembentangan Rang Undang- Undang (RUU) Cukai Pelancongan 2017.
Tarikh 6 April semasa RUU355 dibentangkan adalah hari terakhir persidangan Parlimen. – 13 Mei, 2017.
Comments