SEBAGAI tunjang utama di dalam proses demokrasi ketika persidangan dewan dijalankan, speaker tidak sepatutnya dipengaruhi faktor politik semasa menjalankan tugas, kata Sultan Selangor Sultan Idris Sharafuddin Idris Shah hari ini.
Titah baginda, speaker perlu mempunyai sifat adil, matang, jujur dan berpengetahuan luas dengan intergriti yang tinggi.
“Serta tidak memihak kepada mana-mana politik sama ada parti pemerintah atau pembangkang,” titah baginda dalam ucapannya semasa merasmikan Persidangan Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seluruh Malaysia 2017 di Shah Alam hari ini.
“Oleh itu, tuan speaker hendaklah memastikan agar ahli berhormat sentiasa mematuhi dan melaksanakan setiap peraturan dan garis panduan dewan.”
Selain itu, baginda juga menyarankan agar setiap dewan dapat mengurangkan masa persidangan yang melangkaui masa rehat iaitu selepas 12 tengah malam.
“Kerana beta yakin kecergasan minda semua pihak termasuklah urus setia dewan dan para pelapor tidak berada di paras optimum ketika ini.”
Mac tahun ini Parlimen memecah rekod barunya dengan persidangan paling lama bermula 10 pagi dan berakhir 5.05 pagi selepas perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Pelancongan 2017. β 13 Mei, 2017.
Comments