SURAU Austin Perdana hari ini menyuarakan kekesalannya berikutan pergaduhan yang berlaku ketika solat Jumaat minggu lalu di antara pemandu kereta dan para jemaah.
Ahli jawatankuasa surau itu berkata insiden tersebut telah mencemarkan imej Islam sebagai agama kasih sayang dan agama yang membawa rahmat untuk seluruh umat.
Kenyataan tersebut dibaca melalui pembesar suara surau tersebut sebelum bermulanya khutbah solat Jumaat hari ini.
“Kami amat kesal dengan sifat kurang sensitif pihak yang membuat provokasi terhadap jemaah sehingga menyebabkan berlaku kekerasan tersebut.
“Apatah lagi pihak tersebut telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam.
“Kami berharap agar para jemaah sekalian dapat memberi kerjasama memastikan kenderaan masing-masing terletak secara teratur dan tidak menghalang lalu lintas pada masa depan,” katanya.
Semalam, dilaporkan pemandu berusia 28 tahun itu Toh Chai Eun memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Islam, terutamanya mereka yang terbabit dalam pergaduhan sambil menjelaskan bahawa dia tiada sebarang niat jahat untuk mencetuskan pergaduhan tersebut dengan membunyikan hon keretanya bertalu-talu ketika solat Jumaat.
Toh ketika pertemuan dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor semalam menjelaskan tindakannya itu dilakukan kerana dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan sedang bergegas untuk urusan penting.
“Bagaimana cantiknya saf dalam surau, kita sama-sama cantikkan susun atur di luar surau ini juga,” kata ajk surau itu merujuk kepada susunan tempat letak kereta jemaah di luar surau.
Keadaan di sekitar surau itu tadi kelihatan tenang dan trafik dikawal oleh polis trafik dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Terdapat kain rentang berwarna merah digantung memberi amaran agar para jemaah meletakkan kereta mereka dengan teratur dan tidak menganggu kesesakan lalulintas.
Seorang ahli Rela yang mendakwa ada ketika waktu kejadian itu berkata terdapat penduduk yang datang berjumpanya untuk berterima kasih kerana meleraikan pergaduhan itu.
“Saya menarik orang ramai daripada memukul pemandu itu. Apabila pemandu itu terlepas, saya juga menghalang mereka daripada menterbalikkan kereta dia,” katanya yang enggan namanya didedahkan.
“Jadi hari ini selepas solat Jumaat, ada daripada mereka datang, peluk saya dan berterima kasih kerana menjalankan tugas saya pada hari itu,” katanya.
Minggu lalu, dua video mengenai insiden kekecohan itu menjadi tular di media sosial.
Pergaduhan berlaku apabila lelaku dalam sebuah kereta putih membunyikan hon berkali-kali di luar surau berkenaan kerana dia tersekat dalam kesesakan jalan raya sehingga menimbulkan kemarahan kepada mereka yang ke masjid untuk solat Jumaat.
Polis berkata beberapa orang kemudian merosakkan keretanya dan mengasari lelaki itu.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan empat orang ditahan. β 12 Mei, 2017.
Comments