Kecewa tahaluf siyasi putus, Azmin panggil exco PAS


Diyana Ibrahim

MENTERI Besar Selangor Azmin Ali berkata beliau kecewa dengan tindakan PAS memutuskan hubungan kerjasama politik dengan PKR, seperti diputuskan Majlis Syura parti Islam itu semalam.

Azmin berkata tindakan PAS sebenarnya membelakangkan mandat rakyat yang memberi kepercayaan kepada blok pembangkang itu menjadi kerajaan di Selangor.

“Saya kecewa kerana keputusan batalkan tahaluf siyasi adalah keputusan PAS sendiri.

“Dan ini satu keputusan yang membelakangkan aspirasi rakyat dan negara,” katanya kepada media di Bangunan SUK Shah Alam, hari ini.

Azmin berkata tidak ada siapa boleh menafikan hakikat kerajaan negeri berjaya melaksanakan mandat dan aspirasi rakyat melalui tahaluf siyasi dijalinkan sejak dipilih pada 2008.

Susulan pembatalan tahaluf siyasi dengan PKR, Azmin memanggil Pesuruhjaya PAS Sallehen Mukhyi dan dua exco Dr Yunus Hairi dan Zaidy Talib pagi tadi.

Beliau berkata pertemuan itu dilakukan supaya ketiga-tiga wakil rakyat PAS memberikan penjelasan tentang keputusan Majlis Syura semalam.

Katanya, antara perkara yang disampaikan wakil rakyat PAS itu ialah kedudukan mereka dalam kerajaan negeri.

“Itu antara perkara yang disampaikan mereka dan saya akan meneliti sebelum tindakan dilakukan,” katanya.

Namun apabila ditanya adakah beliau berpuas hati dengan penjelasan mereka, ahli Parlimen Gombak itu menegaskan ia satu keperluan untuknya mendengar.

“Apa pun saya mendengar penjelasan dan meneliti saya akan bawa penjelasan ini kepada presiden PKR yang sedang dalam perjalanan pulang dari Amerika Syarikat untuk melihat apa tindakan selanjutnya,” katanya. – 12 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments