Kenapa tidak buru Jho Low, soal Guan Eng kepada LHDN


Looi Sue-Chern

Ketua menteri Pulau Pinang mendesak LHDN turut menyiasat kehidupan mewah Jho Low. – Gambar AFP, 11 Mei, 2017.

JANGAN amalkan sikap pilih kasih, kata Lim Guan Eng kepada pihak berkuasa pencukaian hari ini, berkata yang mereka sepatutnya meluaskan hasil buruan mereka kepada Jho Low dan bukan hanya jutawan yang gagal membayar cukai.

Ketua menteri Pulau Pinang itu mengulas laporan yang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang menggiatkan usaha untuk memburu jutawan dan ahli perniagaan yang mengelak membayar cukai.

Lim berkata yang LHDN mendakwa mereka melakukan kerja mereka demi kepentingan negara, tetapi sebenarnya mengamalkan pilih kasih sekiranya mereka gagal memburu Jho Low, yang membeli hartanah, lukisan dan pelbagai barangan mewah lain.

“Kerajaan sudah kehabisan duit dan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan duit sekarang. LHDN dilaporkan memburu ahli perniagaan dan ini akan memberikan kesan buruk kepada perniagaan.

“Tetapi mereka sepatutnya memburu semua orang, terutama sekali lelaki muda dari Pulau Pinang, Jho Low yang didakwa mempunyai berbilion ringgit. Sekiranya LHDN gagal memburu Jho Low, ramai akan mempersoalkan sikap pilih kasih LHDN.

“Kutip setiap sen dari Jho Low dan mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB. Kenapa ambil tindakan kepada ikan bilis sahaja tetapi tak ambil tindakan terhadap buaya besar?” kata Lim semasa sidang media di Komtar hari ini.

Low, atau nama sebenarnya Low Taek Jho, ialah ahli perniagaan berusia 30-an berasal dari Pulau Pinang, yang dipercayai menjadi dalang skandal 1Malaysia Development Berhad.

LHDN kini sedang memburu jutawan yang gagal membayar cukai bernilai jutaan ringgit, turut mengeluarkan amaran yang penguatkuasaan lebih ketat akan dilaksanakan tahun ini dengan lebih banyak audit dan siasatan dilakukan.

Pada bulan Mac lalu, Perdana Menteri Najib Razak dilaporkan memberitahu Dewan Rakyat yang jumlah cukai pendapatan tidak dikutip sehingga 31 Disember tahun lepas dianggarkan berjumlah RM6.8 bilion.– 11 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments