PUTRAJAYA mengembalikan RM785.9 juta kepada konsortium IWC-CREC pada Selasa kerana pembatalan perjanjian jualan saham Bandar Malaysia, seminggu selepas berakhirnya urus niaga yang mengejutkan itu.
The Malaysian Insight melihat dokumen peguam berhubung pengembalian deposit RM741 juta itu bagi saham Bandar Malaysia dan RM44.883 juta bayaran interim bagi pemindahan dan pembangunan semula Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL).
Bayaran itu diakui terima pada 9 Mei oleh IWH CREC Sdn Bhd (ICSB), syarikat usaha sama 40:60 antara Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd dan China Railway Engineering Corporation.
“Ia memuktamadkan pengakhiran urus niaga itu. Kerajaan kini bebas untuk meneruskan dengan yang lain,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
TRX City Sdn Bhd, unit dalam Kementerian Kewangan (MoF) yang memiliki Bandar Malaysia membatalkan urus niaga bertarikh Disember 2015 itu pada minggu lalu, berkata ICSB tidak membuat bayaran walaupun sudah banyak kali diberikan lanjutan.
ICSB menafikan kenyataan TRX City dan berkata ia ada hak untuk mengambil tindakan lanjut.
Pemilik IWH Lim Kang Hoo ke Beijing minggu ini untuk bertemu pegawai CREC dan meminta bantuan kerajaan China mengembalikan urus niaga RM7.41 bilion bagi projek pembangunan seluas 176 hektar tanah itu di Kuala Lumpur.
Tindakan Lim itu menyebabkan MoF menarik balik semua insentif yang diberikan kepada Danga Bay, projek pembangunan pesisiran pantai yang dikawal oleh ahli perniagaan itu.
Walaupun urus niaga itu gagal, Putrajaya kini meninjau cadangan daripada syarikat China yang lain, dengan Singapore Straits Times minggu ini melaporkan syarikat hartanah terkemuka China, Dalian Wanda bakal menjadi pemaju utama Bandar Malaysia.
Perdana Menteri Najib Razak akan ke Beijing esok bagi menghadiri forum dari 14 hingga 15 Mei dan dijadualkan bertemu Presiden China Xi Jinping sebelum sidang kemuncak dan membincangkan projek Bandar Malaysia.
Bandar Malaysia adalah antara projek dilaksanakan dengan China, manakala projek lain termasuk pembinaan landasan kereta api Pantai Timur dan beberapa pelabuhan.
China juga berminat membina projek kereta api berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura, dengan terminalnya dibina di Bandar Malaysia. – 11 Mei, 2017.
Comments