KERAJAAN Pulau Pinang hari ini memberi jaminan kepada umat Islam yang dana zakat di Zakat Pulau Pinang (ZPP) berada dalam keadaan selamat.
Exco Hal Ehwal Agama Negeri Abdul Malik Abul Kassim memberi jaminan tiada dana zakat disalahgunakan, berikutan penahanan empat pegawai atasan ZPP, termasuk ketua pegawai eksekutifnya (CEO), semalam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Empat ditahan reman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan bersama tujuh kontraktor, yang turut ditahan dan direman bagi siasatan berhubung rasuah.
“Daripada apa yang kita faham selepas membaca berita mengenai tangkapan dan kenyataan SPRM, siasatan bukan dilakukan terhadap pihak ZPP, tetapi individu dan dakwaan rasuah terhadap mereka.
“Setakat ini, kami tidak pernah berhadapan isu penyalahgunaan di ZPP,” kata Malik kepada pemberita di pejabatnya di Komtar hari ini.
Beliau berkata ZPP tertakluk kepada pengauditan bebas setiap tahun sejak 2008, dan satu-satunya audit bebas kedua diperlukan adalah pada 2015 selepas terdapat aduan mengenai proses tender.
“Terdapat aduan mengenai perkara perolehan tetapi tiada timbul dan tiada cadangan meneruskan audit forensik,” katanya.
Malik berkata ZPP mempunyai pelbagai mekanisme memastikan ketelusan dan kecekapan dalam pentadbiran.
“Kami melakukan audit mengejutkan, audit kedua dan pengauditan forensik apabila timbul keperluan.
“Kerajaan negeri memandang serius pengurusan ZPP dan kami menekankan kepada ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.
Malik berkata ZPP akan menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat, dan jika pegawai didakwa, mereka akan digantung tugas.
Dalam pada itu, beliau berkata lembaga pengarah ZPP akan mengadakan mesyuarat esok untuk membincangkan penambahbaikan dan bagaimana menjalankan urusan seperti biasa tanpa gangguan berikutan tangkapan itu.
“Kita tidak boleh mengambil apa-apa tindakan sehingga hasil siasatan diketahui,” katanya dan pada masa sama enggan mengulas dakwaan CEO meluluskan biasiswa untuk anaknya tanpa kelulusan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).
Pengerusi Lembaga ZPP Mohd Salleh Man, yang juga mengetuai MAIPP, berkata agensi itu akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.
“Sebagai institusi agama, tindakan tegas pasti akan diambil jika pegawai itu bersalah. Kami meminta umat Islam tidak perlu bimbang,” katanya.
Semalam, Ketua SPRM Pulau Pinang Abdul Aziz Aban berkata siasatan awal menunjukkan 11 individu menyalahgunakan dana dengan menganjurkan program dengan wang sebelum membahagikan keuntungan.
Beliau juga berkata SPRM percaya CEO berkenaan turut menerima barangan berharga, wang, cek daripada kontraktor dan pembekal sebagai balasan pemberian projek tertentu kepada mereka.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 17 (a) dan Seksyen 17 (b) bersama Seksyen 23 Akta SPRM kerana menerima dan memberi suapan serta menggunakan kedudukan bagi suapan. β 10 Mei, 2017.
Comments