PAS Selangor bertegas tidak akan keluar daripada kerajaan negeri sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang walaupun sudah putus hubungan dengan PKR.
Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kepada rakyat memberikan mandat kepada mereka untuk mentadbir pada PRU lalu.
“Matlamat PAS hendak jaga dasar dalam parti tetapi tetap terus berada dalam kerajaan.
“PAS berada dalam kerajaan negeri hari ini kerana dipilih dan diberi mandat dalam PRU lalu, maka kerajaan negeri akan terbubar jika mandat selesai melalui pembubaran DUN,” katanya pada sidang media di Shah Alam, Selangor malam tadi.
Sallehen berkata demikian sebagai merujuk kepada isu usul putus hubungan dengan PKR yang dibawa perwakilan pada muktamar tahunan parti Islam itu dan ia akan dimuktamadkan oleh Majlis Syura.
Beliau yang baru saja dilantik sebagai pesuruhjaya Selangor berkata hubungan kerjasama itu hanya daripada segi politik, bukan kepimpinan negeri.
Bagaimanapun katanya, tahaluf siyasi dalam kerajaan negeri tidak termasuk sekali dengan perbincangan pemilihan kerusi dalam PRU depan.
“Perbincangan pembahagian kerusi cuma dengan PAS kerana kita sasar 45 kerusi pada PRU seperti dinyatakan presiden kita,” katanya.
Pada sidang akhbar itu beliau turut mengumumkan barisan kepimpinan PAS Selangor dengan rombakan empat jawatan termasuk timbalan pesuruhjaya II Mohd Haslin Hassan dan timbalan pesuruhjaya III Zamri Zainuldin.
Sebelum ini jawatan itu dipegang timbalan speaker Shafie Ngah dan Ahmad Dusuki Abd Rani.
“Rombakan ini untuk memberi fokus kepada kerja lebih besar,” katanya.
Sallehen juga menafikan amalan kewajipan melantik pesuruh jaya PAS daripada kalangan exco negeri.
Katanya, tidak wujud amalan sebegitu dalam PAS dan berkata dirinya dipilih sendiri oleh presiden Abdul Hadi Awang.
“Tidak ada amalan begitu, hanya baru-baru ini saja pesuruhjaya daripada kalangan exco, dulu tidak ada,” katanya.
Beliau merujuk kepada bekas pesuruhjaya seperti Dr Hasan Mohamed Ali dan Dr Abd Rani Osman yang dilantik tanpa memegang jawatan exco. – 10 Mei, 2017.
Comments