USAHA sama yang hilang urus niaga Bandar Malaysia dipercayai meminta bantuan Beijing bagi menyelamatkan pembelian mereka, mendorong Putrajaya menyemak semula insentif yang diberikan kepada syarikat rakan kongsi Malaysia, Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH).
The Malaysian Insight difahamkan pemilik IWH Lim Kang Hoo sendiri pergi ke ibu kota China bagi merayu bantuan Beijing untuk mendapatkan semula pembelian IWH-CREC Sdn Bhd (ICSB) sebanyak 60% Bandar Malaysia bernilai RM7.41 bilion.
Kerajaan Malaysia dapat tahu mengenai langkah terbaru itu dan mengugut untuk membatalkan insentif yang diberikan kepada projek IWH, Danga Bay di Iskandar Malaysia – koridor ekonomi di utara Singapura.
“Kerajaan tidak suka dan akan melindungi kedaulatan keputusannya,” kata seorang sumber kepada The Malaysian Insight.
Perdana Menteri Najib Razak yang juga menteri kewangan dijangka tiba di Beijing pada Jumaat bagi menghadiri forum “Belt and Road Forum for International Cooperation” pada 14 hingga 15 Mei.
Beliau dijadualkan bertemu Presiden China Xi Jinping sebelum sidang kemuncak dan mengumumkan pemaju utama bagi projek Bandar Malaysia.
Singapore Straits Times semalam melaporkan syarikat hartanah besar Dalian Wanda sedang mendahului untuk menjadi pemaju utama.
Putrajaya mengumumkan ia mencari pemaju utama baharu selepas membatalkan urus niaga dengan ICSB pada 3 Mei.
TRX City Sdn Bhd, anak syarikat Kementerian Kewangan yang memiliki Bandar Malaysia berkata perjanjian penjualan saham dengan ICSB bertarikh 31 Disember 2015 luput selepas syarikat usaha sama itu gagal membuat bayaran walaupun selepas 12 kali tarikh lanjutan. ICSB sepatutnya membayar keseluruhan bayaran pada Jun 2016.
ICSB mempertikaikan keputusan TRX City untuk membatalkan urus niaga itu, berkata ia menyempurnakan bahagiannya dan berhak mengambil tindakan lanjut. ICSB ialah 40% dimiliki oleh IWH sementara selebihnya milik China Railway Engineering Corporation (CREC), syarikat milik kerajaan.
Malaysia melancarkan kawasan ekonomi Iskandar Malaysia pada November 2006 dan dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar (IRDA). Putrajaya memberikan beberapa insentif cukai untuk merangsang permulaan perniagaan di wilayah itu.
Insentif itu termasuk pengecualian daripada cukai korporat bagi 10 tahun daripada pendapatan di wilayah itu bagi perniagaan bermula pada atau sebelum 31 Disember, 2020. Dan juga, pengecualian pematuhan peruntukan cukai pegangan terhadap bayaran royalti dan yuran perkhidmatan kepada bukan penduduk tetap bagi tempoh 10 tahun dari operasi bermula.
Danga Bay yang dibangunkan IWH, ialah pembangunan pesisiran pantai bertaraf antarabangsa bermula dari Lido Boulevard hingga ke Skudai Kiri dan Lebuh raya Pesisiran Pantai Barat, diberikan insentif bermula 1 September, 2013 hingga 31 Disember, 2020.
Putrajaya turut mengumumkan bermula Mei 2014, syarikat yang melabur lebih RM10 juta termasuk kos tanah, dalam sektor perkhidmatan mungkin layak bagi pengecualian cukai korporat selama lima tahun, begitu juga dengan insentif duti import dan jualan bagi jentera serta peralatan tertentu.
Fleksibiliti juga diberikan daripada pematuhan penuh dengan peraturan pertukaran mata wang asing bank pusat dan pengambilan pekerja asing berpengetahuan. – 10 Mei, 2017.
Comments