MUNGKIN masih akan ada pertemuan antara timbalan presiden PKR dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk memperbaiki perbezaan pendapat antara kedua-dua parti itu, tetapi Azmin Ali enggan memberikan komitmen yang beliau akan memulakan langkah pertama.
“Saya terbuka kepada mana-mana pertemuan dan akan bertemu semua pemimpin,” katanya ketika ditanya sama ada beliau mahu berjumpa Hadi.
Tetapi apabila ditanya adakah beliau akan memulakan pertemuan itu, Azmin berkata: “Jika ia demi kebaikan pembangkang.”
Menteri besar Selangor itu berkata memang menjadi peranan PKR untuk mengukuhkan pembangkang dan akan terus berbuat demikian.
“Kita perlu ada rasa rendah diri untuk duduk dan berbincang. Ya, memang ada perbezaan tetapi saya fikir ia boleh diselesaikan menerusi rundingan, perbincangan dan kata sepakat yang akan dicapai dalam pertemuan itu,” katanya di Shah Alam hari ini.
“Saya percaya kepimpinan tinggi PAS akan membuat keputusan terbaik untuk menyelamatkan negara ini dan ekonomi Malaysia. Ia patut menjadi asas pada mana-mana keputusan bagi PKR atau Pakatan atau parti politik di luar Barisan Nasional.”
PAS baru-baru ini meluluskan usul memutuskan hubungan dengan PKR pada persidangan muktamarnya di Alor Setar. Keputusan akhir usul itu perlu dibuat oleh Majlis Syura parti.
Tetapi Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Anwar Ibrahim berkata kedua-dua parti selama ini mempunyai hubungan yang baik.
Wan Azizah berkata PKR akan menunggu keputusan akhir daripada Majlis Syura PAS sebelum mengulas lanjut, menambah beliau kekal optimistik kerana PAS dan PKR memperjuangkan perkara yang sama. – 9 Mei, 2017.
Comments