TIDAK akan ada rombakan dalam barisan ahli majlis eksekutif (exco) Selangor walaupun wujud khabar angin mengenai kemungkinan berlaku rampasan kuasa di negeri itu, baru-baru ini.
Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata rakyat Selangor memberikan mandat satu penggal dan jelas pengundi mahukan perubahan di negeri itu.
“Ada mereka kata dalam kertas undi yang saya beri anda mandat tiga bulan? Tentulah tidak. Jangan pandang rendah kebijaksanaan pengundi.”
Timbalan presiden PKR itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pemuda Amanah yang beliau merombak exco Selangor dengan memecat exco PAS.
Semua tiga sayap PAS – Ulama, Pemuda dan Pusat – perwakilan meminta kepimpinan parti memutuskan hubungan dengan PKR pada perhimpunan muktamar parti Islam itu di Alor Setar, baru-baru ini.
“Jadi saya ada tugas untuk melaksanakan mandat itu dan ia bukan mengenai pilihan saya. Bukan saya yang memilih tetapi mereka membuat pilihan pada PRU lalu dan kita perlu menghormati proses demokrasi,” kata Azmin kepada wartawan selepas menghadiri satu majlis kerajaan negeri di Shah Alam hari ini.
Azmin berkata beliau menghormati cadangan daripada semua pihak tetapi rakyat yang memilih wakil rakyat daripada PKR, DAP dan PAS untuk membentuk kerajaan negeri sedia ada.
“Mandatnya untuk satu penggal, jadi bagi penggal akan datang kita perlu beri semula mandat kepada rakyat. Biar mereka buat keputusan, mereka akan nilai sepanjang lima tahun lalu apa yang anda buat untuk Selangor.
“Jika anda buat kerja dengan baik, adil pada semua dan berkhidmat dengan rakyat, saya pasti mereka akan sokong kita untuk terus mentadbir negeri ini. Semudah itu saja,” katanya.
Berhubung keputusan Ketua Pemuda PKR Ampang Adam Rosly untuk bercuti sehingga perbicaraan kesnya membuat kenyataan palsu selesai, Azmin berkata ia tindakan tepat.
“Betul tindakan itu untuk tidak membabitkan parti dan kita perlu menghormati proses undang-undang,” katanya, menambah Adam berhak mempertahankan dirinya.
Adam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 21 April kerana memberi keterangan palsu dan memalsukan dokumen yang diserahkan kepada pegawai SPRM ketika siasatan dilakukan terhadap kekayaannya pada Februari.
Kekayaan Adam disiasat selepas ketua Baju Merah Jamal Yunos pada tahun lalu membangkitkan persoalan bagaimana Adam boleh memiliki rumah agam pada usia muda. – 9 Mei, 2017.
Comments