KETUA Pegawai Eksekutif Pemandu Idris Jala yakin Pendapatan Negara Kasar (PNK) akan meningkat walaupun dalam keadaan ekonomi sekarang, dan berkata Malaysia sedang menuju untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi pada 2020.
“Malangnya, apa yang berlaku ialah dunia sedang berdepan kelembapan ekonomi bagi tempoh dua tahun lalu secara berturut-turut dan Bank Dunia mengurangkan PNK per kapita.
“Saya jangkakan ia akan turun, kerana banyak negara di dunia ini, PNK sebenar mereka menurun.
“Dalam kes Malaysia, kita mencapai kemajuan besar, tetapi malangnya kerana ringgit yang lemah, akibat daripada dolar AS, menyebabkan kadar tukaran mata wang kita jatuh,” katanya selepas melancarkan laporan baharu Bank Dunia bertajuk “Driving Performance from the center: Malaysia’s Experience with Pemandu”.
Idris berkata Malaysia sepatutnya mencapai status negara berpendapatan tinggi pada 2015 jika tidak kerana ringgit menjadi lemah.
“Kita sepatutnya sudah mencapai sasaran itu jika ringgit kekal pada RM3.20 berbanding dolar AS seperti pada 2010.
“Tetapi, apa yang penting fokus kepada aktiviti, memang jalan di depan akan terus mencabar, tetapi kami masih yakin matlamat akan berjaya dicapai,” katanya.
Idris berkata ekonomi dunia sedang melalui banyak cabaran.
“Di AS, Jepun dan negara lain, kita hidup dalam dunia nyata di mana permintaan global lemah kerana ekonomi. Kita negara perdagangan besar dan walaupun negara kita kecil, jumlah keseluruhan perdagangan, eksport dan import kita lebih besar berbanding keseluruhan Keluaran dalam negara kasar (KDNK).
“Jadi apabila keseluruhan ekonomi dunia sedang mengalami kelembapan, ia turut menjejaskan perdagangan ini.
“Berita baiknya ialah eksport kita pulih lebih 24%, jadi ia sangat positif. Ia bermakna negara kita kekal berdaya tahan dan keduanya ialah produk dan perkhidmatan daripada sektor elektronik masih mendapat permintaan, jadi ia sangat positif.”
Beliau berkata setiap tahun Bank Dunia menetapkan apa yang dipanggil nilai ambang bagi ekonomi berpendapatan tinggi dan ia dalam bentuk PNK per kapita.
“Setiap tahu mereka letak angka baharu, tetapi mereka tidak ada angka bagi tahun 2020. Jadi tidak ada PNK per kapita yang Bank Dunia tetapkan bagi 2020,” katanya.
Pada 24 April, unit Pemandu dikecam apabila PNK per kapita Malaysia jatuh AS$10,345 pada 2013 dan AS$8,821 pada 2016. – 9 Mei, 2017.
Comments