Jawatankuasa Budiman tidak lagi kendali Bandar Malaysia


Jahabar Sadiq

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah ditugaskan menguruskan projek Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2017.

UNIT kerajaan peringkat tinggi Jawatankuasa Budiman tidak lagi mengendalikan Bandar Malaysia dan pembangunan Tun Razak Exchange susulan kegagalan urus niaganya, dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah menguruskan kedua-dua projek kini, kata sumber.

The Malaysian Insight dimaklumkan Menteri Kewangan Najib Razak mengesahkan keputusan memberhenti tugas jawatankuasa itu manakala semakan dalaman sedang dilakukan terhadap “kemungkinan terdapatnya konflik kepentingan” kedua-dua pembangunan tanah.

Jawatankuasa Budiman ditubuhkan pada April 2016, terdiri daripada Menteri Kewangan Kedua Johari Ghani dan Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy, yang dikeluarkan daripada lembaga pengarah Bandar Malaysia Sdn Bhd dan TRX City Sdn Bhd semalam.

“Peranan Jawatankuasa Budiman di TRX dan Bandar Malaysia dihentikan manakala semakan dalaman sedang dijalankan berhubung kemungkinan terdapatnya konflik kepentingan dalam urus niaga TRX dan Bandar Malaysia,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insight.

Jawatankuasa Budiman sedang menjalankan usaha pemindahkan aset 1MDB kepada dua syarikat yang dimiliki Kementerian Kewangan (MoF).

Singapore Straits Times melaporkan pada Januari lepas aset berharga ini adalah dua plot besar tanah di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang.

Tiga plot tanah dipindahkan ke Piramid Pertama dan Aroma Teraju, menurut pegawai kerajaan dan peguam yang terlibat dalam usaha menyelesaikan hutang 1MDB, lapor Singapura Daily.

Dalam temu bual dengan The Straits Times, Johari berkata hasil penjualan perniagaan jana kuasa 1MDB membantu menyelesaikan hutang kepada bank di Malaysia.

“Langkah kami seterusnya adalah memulakan pembangunan hartanah di Bandar Malaysia dan TRX,” kata beliau merujuk kepada dua projek hartanah utama 1MDB di pinggir Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Putrajaya membatalkan urus niaga Bandar Malaysia minggu lepas, berkata penjualan saham dengan usaha sama IWH-CREC Sdn Bhd luput walaupun berikan 12 kali penangguhan.

IWC-CREC menandatangani perjanjian RM7.41 bilion untuk membeli 60% daripada syarikat yang memiliki projek Bandar Malaysia terhadap lebih 197 hektar tanah di pinggir Kuala Lumpur. Ia juga akan menempatkan perhentian kereta api berkelajuan tinggi Singapura-KL.

Akhbar Singapura itu melaporkan hari ini, syarikat hartanah gergasi Dalian Wanda hampir memuktamadkan pengambilalihan projek Bandar Malaysia dengan perjanjian bakal ditandatangani minggu ini.

Berdekatan Bandar Malaysia adalah 28 hektar Tun Razak Exchange atau TRX, yang bakal menjadi hab kewangan di ibu negara. Satu lagi plot hartanah yang akan dipindahkan daripada 1MDB adalah sebidang tanah seluas 94.7 hektar di daerah Air Itam, Pulau Pinang. – 9 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments