Penganjur didakwa cuba mengubah Kaamatan, yang berakar umbi daripada kepercayaan pagan-animistik sebagai perayaan berterima kasih kepada pelbagai tuhan kerana hasil tuaian yang banyak, kepada festival orang Islam.
“Ia tak perlu sebenarnya, untuk perkataan ‘Islamik’ diletakkan di situ,” kata Nicholas Sylvester yang mempengerusi Hidayah Centre Foundation cawangan Sabah kepada The Malaysian Insight.
Pusat itu ialah badan kebajikan untuk penganut baru agama Islam.
Nicholas yang juga mempengerusikan jawatankuasa bersama Pertubuhan Momogun Muslim SeMalaysia, salah satu penaja “festival patuh syariah”, menyalahkan “pegawai jawatan rendah” kerana memasukkan satu perkataan yang mencetuskan kekecohan.
Nicholas berkata yang acara itu kini dikenali sebagai “Kaamatan Harmoni” untuk mencerminkan niat sebenar penganjur mengumpulkan semua rakyat Sabah daripada pelbagai kepercayaan untuk meraikan bersama-sama, tanpa makanan dan minuman yang diharamkan untuk orang Islam.
“Kerana itu kami menggugurkan perkataan ‘Islamik’. Bukan niat kami untuk mengubah Kaamatan kepada acara agama Islam atau perkara yang memecahbelahkan.
“Apa yang kami maksudkan ialah kami mahu meraikannya mengikut panduan agama kami.”
Dalam kenyataan media hari ini, Nicholas berkata: “Kami tidak berniat jahat atau mempunyai matlamat lain dalam penganjuran acara ini”.
Dia juga menyatakan yang pertubuhan itu terbuka kepada dialog dengan sesiapa sahaja tentang isu ini “demi kepentingan kesejahteraan dan integrasi nasional”.
Acara itu dianjurkan Hidayah Centre Foundation akan berlangsung di Panampang dan Keningau pada hari Sabtu ini, di Tamparuli pada 14 Mei, Kudat pada 16 Mei, sebelum acara kemuncak berlaku di Kundasang selama dua hari pada 20 dan 21 Mei.
Kekecohan bermula apabila gambar seorang wanita yang memakai pelbagai jenis pakaian tradisional Kadazandusun berwarna hitam dan emas, tetapi tidak mendedahkan lengan dan kepala tersebar luas dalam media sosial.
Menteri Pelancongan Sabah Masidi Manjun berkata yang niat penganjur adalah “mulia” kerana mereka mengingatkan penganut baru agama Islam terlibat tentang asal usul mereka.
Acara itu menerima sokongan kementerian Masidi, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia cawangan Sabah.
“Mereka menganjurkan acara ini untuk mengingatkan penganut baru yang mereka tidak perlu melupakan budaya etnik hanya kerana mereka memeluk agama Islam.”
Masidi berkata yang dia juga membangkitkan kebimbangan tentang penggunaan perkataan “Islamik”.
“Saya beritahu dia yang penggunaan perkataan itu boleh menyebabkan tanggapan salah, yang perayaan itu hanya untuk orang Islam.
“Kaamatan sepatutnya disambut semua orang; bagaimana dan adab ia disambut itu terpulang kepada penganjur,” katanya. – 8 Mei, 2017.
Comments