Kementerian Kewangan singkir Arul Kanda daripada lembaga pengarah Bandar Malaysia, TRX


The Malaysian Insight

Keputusan penyingkiran Arul Kanda Kandasamy dilakukan menteri kewangan dan ketua setiausaha perbendaharaan. – Gambar AFP, 8 Mei, 2017.

PUTRAJAYA menyingkirkan Arul Kanda Kandasamy daripada lembaga pengarah syarikat Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange, menyifatkan kewujudan “potensi konflik kepentingan” selepas kegagalan urus niaga Bandar Malaysia dengan konsortium IWH-CREC.

Bagaimanapun, dia akan kekal sebagai presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB), syarikat pelaburan negara yang bergelumang dengan skandal yang diambil alih Kementerian Kewangan (MoF) tahun lepas. Arul Kanda ialah pengerusi lembaga pengarah Bandar Malaysia Sdn Bhd dan ahli lembaga pengarah TRX City.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight yang keputusan itu diambil Menteri Kewangan Najib Razak dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah, yang juga mengetuai lembaga pengarah 1MDB.

”Wujud potensi konflik kepentingan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

MoF ialah pemilik tunggal 1MDB, selepas aset hartanah Bandar Malaysia dan TRX dipindahkan kepada TRX City Sdn Bhd.

MoF membatalkan perjanjian perkongsian jualan tahun 2015 antara TRX City dan IWC-CREC Sdn Bhd pada 3 Mei lepas, mendakwa yang urus niaga itu gagal kerana usaha sama itu gagal memenuhi bayaran belian bernilai RM7.41 bilion untuk 60% kepentingan walaupun diberikan 12 kali penangguhan.

IWC-CREC mencabar versi kejadian yang dikeluarkan MoF dan mengatakan ia masih mempunyai hak dalam urus niaga itu.

MoF dilihat tidak mungkin tunduk kepada IWH-CREC, apatah lagi dengan keenganan konsortium itu untuk berganjak, situasi ini bakal memberi kesan kepada pemilik projek yang berharap dapat melangsaikan hutang 1MDB sebelum pilihan raya umum akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan berkata yang projek Bandar Malaysia akan diteruskan dengan pemaju utama baharu yang mempunyai perancangan yang “lebih menarik dan menyeluruh”.

Spekulasi tersebar luas yang pengganti itu ialah Kumpulan Dalian Wanda yang akan bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan, Kumpulan Malton.

IWH-CREC, konsortium sino-Malaysia bersetuju pada Disember 2015 untuk mengambil alih 60% pegangan dalam Bandar Malaysia, projek hartanah komersial dan kediaman utama di Kuala Lumpur. Projek itu sebelum ini dibangunkan 1MDB.

Urus niaga bernilai RM7.41 bilion itu ialah usaha utama Putrajaya untuk menjual aset 1MDB selepas syarikat itu terjerat dalam hutang lebih daripada ASD$13 bilion (RM56.38 bilion).

Arul Kanda Kandasamy dilantik sebagai ketua eksekutif 1MDB pada Januari 2015, dan berjanji untuk menyelesaikan hutang syarikat pelaburan negara itu pada hujung tahun tersebut. Sebelum itu dia ialah naib presiden eksekutif dan ketua pelaburan perbankan di Abu Dhabi Commercial Bank yang disertainya pada Julai 2008. – 8 Mei, 2017


Sign up or sign in here to comment.


Comments