Putrajaya intai urus niaga baru Bandar Malaysia dalam kemelut IWH-CREC


The Malaysian Insight

Detik penting Perdana Menteri Najib Razak di Beijing minggu depan, boleh dikucar-kacirkan dengan keengganan ahli perniagaan terkemuka Lim Kang Hoo dan rakan niaganya di China menerima hakikat yang urus niaga mereka untuk membangunkan Bandar Malaysia sudah berakhir.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, wujud usaha pelobian yang tegang dilakukan konsortium IWH-CREC selepas pentadbiran Najib mengumumkan pembatalan  perjanjian perkongsian jualan yang dimeterai pada 31 Disember 2015 kerana usaha sama itu gagal melakukan pembayaran berkala walaupun diberikan 12 kali penangguhan.

Tetapi, Putrajaya juga nampaknya tidak mahu berganjak. Pegawai kerajaan dijangka akan menandatangani urus niaga bersejarah itu di Beijing, seterusnya melantik pemaju utama baru Bandar Malaysia dan spekulasi yang tersebar luas mengatakan urus niaga itu milik kumpulan Dalian Wanda.

Sumber juga memberitahu yang keputusan kerajaan itu muktamad dan tiada peluang lagi untuk diubah. Alasannya: kerajaan mahu menyelesaikan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum pilihanraya umum akan datang.

Dan kemampuan untuk menyelesaikan hutang itu bergantung kepada urus niaga baru yang sedang dilakukan untuk Bandar Malaysia. Hasil urus niaga itu akan mengurangkan hutang 1MDB, bekas pemilik hartanah itu, berjumlah ASD$3 bilion dan faedah sejak 2016 berjumlah ASD$3.528 bilion atau RM15.3 bilion, dan RM2.4 bilion bon serta faedah sejak 2016 berjumlah RM2.45 bilion.

Selepas pengumuman pada 3 Mei lepas, Putrajaya yakin mereka akan mampu mengekang penentangan daripada terjadi. Panggilan telefon dibuat kepada pihak berkepentingan dan sesi penjelasan diadakan untuk semua ahli Parlimen dan individu berpengaruh.

Tetapi kerajaan tidak menjangka yang Lim- muka depan konsortium itu- berkeras tidak mahu berganjak dan mencabar penjelasan yang dikeluarkan Putrajaya.

Tindakan pertama konsortium itu ialah dengan mengeluarkan kenyataan media, mengatakan yang mereka memenuhi semua tanggungajwab kewangan dan kerana itu, menurut pandangan mereka perjanjian perkongsian jualan dengan entiti milik Kementerian Kewangan itu masih sah.

IWH-CREC juga menambah yang mereka mempunyai semua hak untuk mengambil tindakan yang difikirkan sesuai bagi melindungi kepentingan mereka.

Pegawai kerajaan terkejut dengan nada keras kenyataan itu tetapi menyifatkannya sebagai strategi perhubungan awam bagi menyelamatkan air muka konsortium tersebut.

Tetapi The Malaysian Insight difahamkan yang Lim dan rakan niaganya sudahpun memperhebatkan tekanan mereka, serta menggunakan hubungan mereka di Malaysia dan China untuk mendapatkan kembali urus niaga itu.

Pelobian ini akan menyukarkan minggu lawatan Najib di Beijing yang sebelum ini dijangka akan bergerak lancar. Lawatan itu berlaku atas jemputan Presiden China Xi Jinping, dan Putrajaya percaya lawatan ini akan memperkukuhkan ikatan bilateral kedua-dua negara.

Pemimpin Asean lain yang turut dijemput ialah Presiden Indonesia Joko Widodo, Presiden Lao Bounnhang Vorachit, Presiden Filipina Rodrigo Duterte, Presiden Vietnam Tran Dai Quang, Perdana Menteri Kambodia Hun Sen dan Kaunselor Negara Myanmar Aung San Suu Ky.

Satu-satunya nama yang tidak berada dalam senarai jemputan ialah Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, satu petanda mencerminkan hubungan kedua-dua negara yang tidak berapa baik.

Semasa lawatan ke Beijing, wujud pengharapan tinggi yang Najib akan mengumumkan konsortium baru diterajui syarikat China untuk membangunkan Bandar Malaysia.

Tetapi keengganan Lim dan konsortiumnya untuk berundur boleh membatalkan pengumuman penting itu.

Mereka yang mengenali Lim, ahli perniagaan yang sinonim dengan Danga Bay dan pembangunan Iskandar di Johor, mengatakan bukan karakter Lim untuk berkonfrontasi dengan kerajaan.

Tetapi mereka mengesyaki yang Lim bimbangkan reputasinya sebagai seorang ahli perniagaan akan terjejas dalam dunia perniagaan dan komuniti kewangan sekiranya dia tidak mencabar kenyataan rasmi bahawa IWH-CREC tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menyempurnakan Bandar Malaysia. – 7 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments