Kerajaan Malaysia berjaya mengembangkan kelas menengah melalui pengenalan sistem pendidikan yang cemerlang, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Katanya, struktur sosial Malaysia berubah daripada bentuk-piramid yang mana kelas miskin membentuk kelompok terbesar terbawah piramid, kepada bentuk berlian, di mana kelas menengah membentuk kelompok terbesar.
“Kejayaan Malaysia, di bawah kepimpinan semua perdana menteri sebelum ini dan perdana menteri sekarang Najib Razak, mengubah masyarakat kita daripada bentuk piramid ke bentuk berlian,” katanya di Sri Murugan Centre, yang meraikan ulang tahun ke 35 hari ini, di Brickfields.
Tambahnya lagi kumpulan menengah kita jauh lebih besar berbanding kumpulan elit dan miskin tegar.
“Ini ialah kejayaan kerajaan Malaysia yang menggunakan pendidikan untuk membentuk kelas menengah. Kumpulan pendapatan menengah ini dibentuk melalui sistem pendidikan yang cemerlang.
Zahid juga berkata yang miskin bandar adalah masalah yang perlu dibasmi, tanpa mengira kaum.
“Saya buta warna (bila menyentuh) soal pembasmian miskin bandar. Kemiskinan tetap kemiskinan. Ia perlu ditangani,” katanya, menambah yang tindakan susulan akan dilaksanakan untuk menangani masalah kos sara hidup yang tinggi. – 7 Mei, 2017.
Comments