Masyarakat Cina di Sarawak kecewa apabila mendapati jawatan timbalan ketua menteri ketiga dalam barisan kabinet baru Ketua Menteri Abang Johari Openg yang diumumkan semalam tidak diberikan kepada mereka.
Presiden Gabungan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Richard Wee walaupun tidak menamakan sesiapa tetapi jelas sekali dia mempersoalkan mengapa presiden satu-satunya parti politik kaum Cina dalam Barisan Nasional Sarawak, Prof Dr Sim Kui Hian daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), tidak dinamakan sebagai penyandang jawatan itu.
Sim ialah menteri kerajaan tempatan dan SUPP pimpinannya ialah salah satu daripada empat parti komponen BN negeri.
Parti komponen lain ialah Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dipimpin Abang Johari, Parti Rakyat Sarawak dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
Sebaliknya, Abang Johari melantik bekas Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Awang Tengah Ali Hassan sebagai timbalan ketua menteri ketiga.
Awang Tengah yang juga merupakan naib presiden kanan- jawatan ketiga tertinggi- dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) masih mengekalkan portfolio industri dan pembangunan keusahawanan.
Wee berkata yang walaupun orang Cina berasa kecewa, dia sendiri boleh “melihat sebab di sebalik semua ini”.
Katanya lagi, orang Cina tidak mempunyai suara yang kuat kerana mereka tidak berpadu dan terasing sesama sendiri.
Dia merujuk kepada pergolakan kepimpinan yang berlaku menjelang pemilihan parti 2011. Pergolakan itu berakhir apabila kumpulan diketuai pengerusi cawangan Sibu Wong Soon Koh meninggalkan parti dan membentuk parti baru, Parti Rakyat Bersatu (UPP).
Wong ialah Menteri Kewangan Kedua Sarawak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan.
“Politik ialah soal angka. Kalaulah boleh anda cuba fahami yang sekiranya kita (parti kaum Cina dalam BN) bersatu, SUPP boleh menjadi parti kedua terbesar dalam BN. Kalau itu berlaku, tiada siapa yang boleh meminggirkan angka sebesar itu,” katanya kepada pemberita di City Square, Pending.
SUPP mempunyai tujuh wakil rakyat sedangkan UPP hanya mempunyai lima. Memandangkan UPP bukanlah parti BN, kelima-lima mereka, termasuk Wong, bertanding atas tiket “calon terus BN” dalam pilihanraya negeri tahun lepas.
Bagaimanapun, penganalisis politik James Chin lebih lantang bersuara. Baginya, perlantikan Awang Tengah ialah “satu lagi tamparan hebat kepada Sim dan masyarakat Cina”.
“Kata-katanya yang SUPP akan membuat kemunculan semula tak boleh dipakai,” kata Chin, orang Sarawak yang kini merupakan pengarah Asia Institute University of Tasmania.
Dia merujuk kepada prestasi parti pada pilihanraya negeri 2016 yang menyaksikan parti itu merampas kembali lima kerusi daripada DAP.
Chin berkata yang perlantikan Awang Tengah sebagai timbalan ketua menteri “mungkin disebabkan Abg Johari memenuhi janji yang dibuat ketika dia menjadi ketua menteri”.
Dia juga berkata yang ia boleh menghentikan sementara Awang Tengah daripada mencabar jawatan presiden parti dan jawatan ketua menteri.
Abang Johari dan Awang Tengah sejak sekian lama dibandingkan sesama sendiri dalam pergelutan untuk jawatan ketua menteri selepas penyandang sebelum itu Abdul Taib Mahmud mengumumkan yang dia akan mengundurkan diri pada 2013.
Sebaliknya Taib memilih Adenan Satem sebagai penggantinya. – 7 Mei, 2017.
Comments