Malaysia Timur tak mahu hukuman syariah lebih berat


Sheridan Mahavera

Simon Sipaun berkata hudud bukan sebahagian perjanjian itu kerana jika ia termasuk, Sabah tidak akan menjadi sebahagian daripada Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2017.

PERTUKARAN agama secara paksa, rampasan Bible dan kini usaha meningkatkan hukuman Syariah. Ini bukan apa yang pemimpin terdahulu dari Sabah dan Sarawak jangka ketika mereka bersetuju membentuk Persekutuan Malaysia bersama Semenanjung Tanah Melayu.

Dan jika tahu semua ini berlaku 54 tahun akan datang, mereka akan berfikir dua kali sebelum menandatangani Perjanjian Malaysia pada 1963, kata tokoh terkemuka Sabah dan bekas Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Simon Sipaun.

“Pemimpin kita berkeras kepada Tanah Melayu menjamin kebebasan beragama dalam persekutuan yang baru. Mereka mengukir janji ini atas batu pada 1963,” kata Sipaun, yang ketika itu berusia 25 tahun dari Kota Kinabalu pada 1963.

Batu itu, yang dipanggil “batu sumpah”, mempunyai tiga janji diukir di atasnya oleh pemimpin Sabah ketika itu sebagai peringatan kepada anak negeri tentang jaminan kepada mereka dalam persekutuan baru.

Kebebasan beragama adalah jaminan paling atas diikuti hak ke atas tanah dan adat anak negeri. Batu itu kini disimpan di Pejabat Daerah Keningau di kawasan pedalaman Sabah.

“Hudud bukan sebahagian perjanjian itu kerana jika ia termasuk, Sabah tidak akan menjadi sebahagian daripada Malaysia,” kata Sipaun, seorang daripada sekumpulan rakyat yang prihatin dengan Malaysia Timur, menandatangani surat terbuka menentang RUU355.

RUU355 adalah rang undang-undang persendirian yang ditaja PAS bagi mendapatkan hukuman lebih berat untuk orang Islam yang melakukan kesalahan Syariah seperti minum arak dan zina.

Walaupun pendukungnya seperti Umno mendakwa ia bukan “hudud”, pengkritik berhujah rang undang-undang itu bertujuan melaksanakan hudud melalui pintu belakang dengan meminda beberapa undang-undang persekutuan.

“Saya tidak percaya jaminan mereka kerana mereka juga pernah berjanji memansuhkan Akta Hasutan. Tetapi sebaliknya ia diperkukuhkan,” kata Sipaun merujuk kepada pentadbiran Najib yang berubah pendirian mengenai undang-undang era penjajah itu.

“RUU355 boleh menjadi permulaan mengenakan doktrin Islam ke atas bukan Islam berdasarkan apa yang berlaku selama ini.”

Penularan Islamisasi

Sipaun menyaksikan sendiri perubahan landskap sosio-agama Sabah dalam tempoh lima dekad lalu, kerana beliau berusia 25 tahun ketika ura-ra Sabah membentuk Persekutuan Malaysia sedang memuncak.

Pada masa itu, Sabah dikenali sebagai Borneo Utara tidak mempunyai undang-undang yang mengawal selia mana-mana agama dan masyarakat bebas mengamalkan agama mereka sendiri, kata Sipaun, yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha kerajaan negeri Sabah.

“Hukuman bagi dosa terserah kepada Allah. Undang-undang sivil hanya menghukum jenayah. Tiada ketegangan agama. Gereja menggunakan istilah Allah dan umat Islam tidak mempunyai masalah dengannya.”

Selama ini, rakyat Sabah mula merasakan kempen halus Islamisasi diarahkan dari Semenanjung menjalar ke dalam kehidupan mereka, kata Sipaun.

“Sebagai pesuruhjaya Suhakam, saya menyiasat aduan mayat yang direbut orang Islam dan bukan Islam.

“Kami menyiasat kes bagaimana rakyat Sabah dengan nama Arab atau Melayu menukar kad pengenalan lama kepada MyKad baru, secara automatik mendapat tambahan ‘bin’ atau ‘binti’ kepada nama mereka dan label Islam.”

Umat ​​Islam di Malaysia mempunyai “bin” dan ‘binti’ dimasukkan ke dalam dokumen pengenalan rasmi mereka. MyKad juga mempunyai label “Islam” di bawah nama mereka.

“Tetapi mereka memberi keterangan tidak dilahirkan Islam atau pernah memeluk Islam. Ia hanya kerana mereka mempunyai nama Arab atau Melayu.”

Apabila pengadu ke mahkamah untuk membetulkannya, mereka dirujuk kepada Mahkamah Syariah, kata Sipaun. Tetapi proses di mahkamah sukar, dan tidak menerima sokongan rasmi.

“Satu daripada pengadu memberitahu dia juga perlu melalui kursus pemulihan Islam sebelum diisytiharkan sebagai bukan Islam”.

Warga Sabah ketika itu juga terkejut apabila pada 2009, kontroversi tercetus penggunaan perkataan “Allah” di gereja tempatan dan Bible Bahasa Malaysia untuk Sabah dirampas, katanya.

Semua yang terjadi ini menyebabkan penduduk Sabah bertambah curiga dengan tujuan RUU355.

“Bukan Islam takut ia akan memberi kesan kepada kehidupan harian mereka seperti rampasan Bible. Pelampau Islam giat menyemai rasa takut ke dalam semua orang.

“Ini bukan Malaysia yang saya sangka Borneo Utara akan bentuk.”  - 7 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments