PASARAN hartanah kecoh apabila pentadbiran Najib Razak menghentikan perjanjian pembangunan projek Bandar Malaysia dengan konsortium IWH-CREC secara tiba-tiba pada Rabu lalu.
Sepanjang 48 jam lalu, kerajaan dan pegawai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sibuk memberi taklimat kepada menteri dan barisan pemimpin parti pemerintah mengenai kenapa Menteri Kewangan Najib Razak membatalkan urus niaga bernilai RM7.42 bilion yang ditandatangani dengan IWH-CREC pada 31 Disember, 2015.
“Najib dapat urus niaga lebih baik, kalau tidak dia tidak akan batalkan pembelian IWC-CREC,” kata seorang veteran hartanah kepada The Malaysian Insight.
“Tidak ada sesiapa yang hentikan urus niaga tanpa dapat urus niaga lebih baik,” katanya.
Menteri ekonomi Abdul Rahman Dahlan berkata Najib memberitahu kepada Kabinet pada Rabu dan menyebut sebuah syarikat baharu akan dipelawa menjadi pemaju utama bagi projek seluas 486 ekar itu.
The Malaysian Insight difahamkan konglomerat hartanah besar China sedang dipertimbangkan sebagai pemaju utama dengan beberapa pemaju tempatan akan menjadi rakan kongsi bagi pembangunan Bandar Malaysia.
Putrajaya berkata mana-mana urus niaga baharu untuk Bandar Malaysia tidak akan membabitkan sebarang penjualan tanah, tidak seperti pembelian 60% saham IWH-CREC dalam TRX CIty Sdn Bhd, pemilik Bandar Malaysia.
Urus niaga baharu itu akan hanya memberi hak pemaju utama bagi projek mega itu.
“Ia lebih besar berbanding sebelum ini dan ia membabitkan mereka yang ada wang serta rekod yang baik,” kata satu sumber, enggan memberikan maklumat lanjut.
Presiden 1MDB Arul Kanda memberitahu ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada Khamis yang akan ada pengumuman besar pada minggu depan tetapi tidak memberi butiran terperinci. Beliau juga berkata kerajaan akan menerima manfaat daripada urus niaga baharu itu.
Pegawai kerajaan juga bimbang pembatalan urus niaga itu akan menyebabkan pergeseran dengan China dan mengakibatkan syarikat China menarik balik projek infrastruktur di Malaysia.
“Tanah projek Bandar Malaysia kawasan penting di Kuala Lumpur. China sudah pasti mahukannya, terutama dengan adanya terminal kereta api berkelajuan tinggi di situ,” kata seorang pegawai rasmi kepada The Malaysian Insight.
Seorang lagi pegawai berkata Najib dijadualkan melawat China minggu depan bagi menghadiri forum Belt and Road Forum for International Cooperation” yang akan diadakan pada 14 hingga 15 Mei di Beijing.
Beliau salah seorang daripada 28 ketua negara dan pemimpin kerajaan yang akan menghadiri persidangan itu yang akan dipengerusikan Presiden China Xi Jinping.
Beberapa syarikat China sudah memeterai perjanjian urus niaga bagi projek infrastruktur Malaysia, termasuk pelabuhan di Kelantan dan Melaka, serta landasan kereta api antara Pelabuhan Klang dan Kuantan.
Mereka juga mengintai projek kereta api berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura yang dijangka bermula sebaik saja tender dibuka. Syarikat kereta api China dan Jepun sedang bersaing bagi mendapatkan projek berbilion ringgit itu. – 6 Mei, 2017.
Comments