Terdapat peningkatan mendadak jenayah seks kanak-kanak di Sarawak, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Sarawak Fatimah Abdullah.
Katanya, statistik polis menunjukkan peningkatan 41.81% kes tersebut dalam empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas, iaitu sebanyak 251 kes tahun ini berbanding 177 kes tahun lepas.
Statistik menunjukkan kes pencabulan kehormatan naik sehingga 125%, liwat 100% dan rogol 24.32%, katanya dalam satu forum jenayah seksual terhadap kanak-kanak di Kuching semalam.
Fatimah juga berkata yang Sarawak merekodkan kes kedua tertinggi kehamilan dalam kalangan remaja di negara ini.
Statistik Jabatan Kesihatan Sarawak 2014 menunjukkan kehamilan remaja di negeri itu lebih tinggi berbanding purata kebangsaan sebanyak 24.2%, dengan jumlah tertinggi kehamilan remaja dicatatkan berlaku di Sarikei, Kapit, Bintulu, Miri, Kuching dan Samarahan.
Menteri itu juga menambah yang perkahwinan remaja tidak bertahan lama dan banyak yang bercerai selepas empat hingga lima tahun berkahwin.
Pengantin perempuan semuda 12 hingga 15 tahun, dan perkahwinan sebegitu biasanya berlaku kerana gadis terlibat mengandung, kata Fatimah.
“Selalunya ibubapa akan meminta pasangan berkenaan untuk berkahwin. Tetapi berdasarkan pemerhatian kita, perkahwinan sebegini tidak akan bertahan lama,” tambahnya lagi.
Apa yang lebih membimbangkan ialah terdapat bukti mengaitkan keganasan rumah tangga dengan perkahwinan di usia muda, jelas Fatimah.
Dalam sisi lain yang lebih positif, katanya kes penderaan kanak-kanak tidak meningkat dan kes pembuangan bayi menurun daripada empat kes kepada tiga kes tahun ini. – 5 Mei, 2017.
Comments