Azmin tepis khabar angin kepimpinan Selangor bergolak


Diyana Ibrahim

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan yang pentadbiran negeri sedang bergolak, berikutan khabar angin yang bertiup kencang mengenai kemungkinan berlakunya perubahan kepimpinan kerajaan negeri.

Khabar angin itu ditepis Azmin merujuk kepada kehadiran exco dan Adun yang menyambut ketibaannya di lapangan terbang hari ini.

“Ini semua exco PAS ada,” kata menteri besar merujuk kepada exco PAS Yunus Hairi dan Mohd Zaidy Abdul Thalib yang turut hadir.

Malah beliau juga menunjuk kepada exco, Daroyah Alwi dan Adun Yaakob Sapari yang turut hadir sebagai petanda bahawa dia masih menerima sokongan daripada barisan kepimpinannya.

“Saya gembira dan yakin dengan Adun Selangor yang telah memberikan khidmat terbaik,” katanya kepada media di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Daroyah dan Yaakob antara empat orang wakil rakyat Selangor yang dikatakan bakal lompat parti selain Adun Batu 3 Rodziah Ismail dan Adun Ijok Dr. Idris Ahmad.

Rodziah dilihat turut hadir menyambut Azmin dan delegasinya daripada lawatan ke Timur Tengah namun Adun Ijok tidak dilihat berada di lapangan terbang.

Manakala hampir majoriti wakil rakyat PAS menyambut menteri besar mereka hari ini.

Mereka ialah Adun Selat Klang Dr Halimah Ali, Adun Meru Abdul Rani Osman, Adun Paya Jaras Khairuddin Othman, Adun Gombak Setia Hasbullah Ridzwan, Adun Seri Serdang Noor Hanim Ismail, Adun Bangi Shafie Ngah, Adun Taman Templer Zaidy Abdul Talib dan Adun Sijangkang Datuk Ahmad Yunus Hairi.

Azmin dan delegasinya tiba di KLIA kira- kira jam 3.05 petang dan sejurus ketibaannya beliau bersalaman dengan puluhan penyokongnya.

Malah beliau juga sempat bergurau mengenai khabar angin akan berlakunya pilihan raya negeri.

“Mana ada nak bubar, nak bubar ke,” tanya Azmin kepada timbalan speaker Shafie Ngah.– 5 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments