DUA hari ini menjadi hari yang mencabar buat ahli perniagaan terkemuka Lim Kang Hoo.
Beliau dan pasukannya di Iskandar Waterfront Holdings Bhd (IWH) bersiap sedia untuk satu acara di Bandar Malaysia petang semalam, satu lagi tambahan pencapaian bagi hartawan itu.
Saham syarikatnya yang tersenarai di Bursa melonjak dan Bloomberg menggelarnya sebagai “saham bermodal kecil paling berprestasi tahun ini” selepas ia naik 270% selepas pengambilalihan tanah berpotensi tinggi di Bandar Malaysia, 486 ekar di kawasan utama Kuala Lumpur.
Tetapi menjelang lewat tengah hari pada Rabu, mereka menerima isyarat yang tidak mesra dan tidak membantu dari Putrajaya, pemilik hartanah itu menerusi TRX City Sdn Bhd (TRXCSB).
Tidak, Perdana Menteri Najib Razak tidak akan hadir lawatan kerja ke Bandar Malaysia pada jam 5 petang seperti dijadualkan. Tidak, tidak ada wakil rasmi daripada pentadbiran Najib.
Panggilan dibuat kepada pegawai rasmi kerajaan dan broker kuasa tetapi tidak ada sesiapa tahu pembatalan acara itu ialah petanda kepada sesuatu yang lebih serius – pembatalan pegangan saham 60% antara TRXCSB dan usaha sama IWH-CREC Sdn Bhd (ICSB).
Nampaknya hanya Najib, ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar dan beberapa pegawai kerajaan yang tahu mengenai keputusan mengakhiri kontrak itu.
Malah, Menteri Kewangan Kedua Johari Ghani juga tidak tahu.
Difahamkan Irwan sudah lama berdepan masalah mengenai ketidakmampuan IWH-CREC mematuhi syarat dan asyik meminta lanjutan. Beliau sudah menyediakan laporan terperinci mengenai aliran tunai dan peristiwa penting yang terlepas sejak urus niaga dengan konsortium itu bermula pada Disember 2015.
Tidak jelas mengapa masalah di Bandar Malaysia tidak dibawa kepada perhatian PM dan menteri kewangan lebih awal, memandangkan Najib menekankan kepentingan projek besar itu dan kepentingannya dalam membantu menyelesaikan hutang 1MDB.
Tetapi selepas menerima laporan daripada Irwan, Najib membuat keputusan untuk memutuskan perjanjian antara unit Putrajaya, TRXCSB dan ICSB.
Apabila berita itu sampai kepada Kang Hoo dan pasukannya, mereka sukar untuk percaya. Adakah ia jenaka? Tidak ada ramalan langsung wujudnya masalah dengan penjawat awam di Kementerian Kewangan.
Selepas kejutan itu, muncullah berderet persoalan daripada pemegang kepentingan yang berbeza.
Siapa di belakang keputusan itu? Anda pasti ia PM kerana beliau bukan orang yang membuat keputusan tegas dan klinikal? Siapa nasihatkan beliau untuk buat begini? Ada pemaju lain?
Apa maknanya semua ini untuk Bandar Malaysia? Jadi sekarang bagaimana hutang 1MDB hendak diselesaikan? Adakah kerajaan China lari daripada urus niaga itu?
Sebahagian soalan itu akan terjawab dalam tempoh beberapa hari lagi, dan banyak jawapan lain tidak akan didedahkan oleh kerajaan Najib atau konsortium itu.
Tetapi apa yang jelas ialah Najib tidak boleh melengahkan projek Bandar Malaysia atau akan terlepas membayar bayaran dijanjikan, memandangkan sasaran utama pentadbirannya ialah untuk menyelesaikan keadaan hutang 1MDB sebelum PRU14.
Melihat kepada kesukaran konsortium itu menjelaskan bayaran berkala, wujud juga kebimbangan sama ada ia mempunyai kekuatan kewangan untuk membangunkan projek itu, yang akan turut menempatkan hab bagi kereta api berkelajuan tinggi ke Singapura, dan kemudian ke Bangkok.
Difahamkan, PM menghubungi pemegang saham di Johor untuk menjelaskan keputusan Kementerian Kewangan dalam membatalkan perjanjian dengan IWH-CREC. Kerajaan negeri Johor memiliki 40% Iskandar Waterfront Holdings, pemegang saham dalam IWC.
Yang paling sukar untuk memberikan penjelasan ialah Kang Hoo, individu paling terkenal selepas berjaya menukar tanah paya di Johor menjadi Danga Bay.
Beliau terpaksa menerima panggilan daripada CREC. Kerajaan negeri Johor, yang menanggung malu dengan keputusan pembatalan kontrak IWH-CREC itu juga meminta penjelasan daripada Kang Hoo.
Ahli perniagaan itu yang mempunyai ramai kawan berkedudukan tinggi juga terpaksa menerima panggilan daripada ahli politik. Banyak nasihat diterima, dengan ada mendesaknya mengambil pendekatan konfrontasi terhadap Putrajaya, dan ada yang memintanya berhati-hati dan menggunakan jalan damai.
Beliau dijadualkan bertemu media pada Jumaat. Dijangkakan beliau akan menggunakan rekodnya selama ini sebagai ahli perniagaan untuk menolak tanggapannya yang konsortium itu tidak mampu mengendalikan projek mega itu.
Jangkakan yang beliau akan mempertahankan CREC. Dan jangkakan yang beliau betul-betul terkejut Kementerian Kewangan/menteri membatalkan urus niaga terbesar dalam hidupnya itu. – 5 Mei, 2017.
Comments