BERITA Putrajaya mengambil alih kawalan terhadap pembangunan projek Bandar Malaysia menimbulkan banyak persoalan, antaranya: kenapa Kementerian Kewangan atau menteri kewangan menunggu terlalu lama untuk membatalkan urus niaga dengan Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Cooperation (CREC) yang tidak bertindak apa-apa, bagi tempoh lama.
Pegawai rasmi kerajaan berkata konsortium Sino-Malaysia itu gagal membayar RM7.42 bilion untuk pegangan 60% walaupun diberi masa 10 kali lanjutan dari Disember 2015.
Kementerian Kewangan atau Menteri Kewangan Najib Razak akan tertekan untuk menjelaskan alasan kenapa konsortium itu diberikan kelonggaran seperti itu dan mengapa usaha yang dijalankan sebelum urus niaga dengan IWH-CREC tidak membangkitkan mengenai kemampuan kewangan mereka di bawah pembangunan hartanah besar itu.
IWH-CREC menandatangani urus niaga dengan pemilik projek 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 31 Disember, 2015 dan ia sepatutnya melengkapkan transaksi pada Jun 2016, iaitu pelan rasionalisasi ketiga dan terakhir untuk menyelesaikan hutang tertunggak 1MDB.
Syarikat 1MDB yang bermasalah itu melaksanakan pelan rasionalisasi tiga peringkat bermula pada Jun 2015, dimulakan dengan urus niaga pertukaran saham dengan Petroleum Investment Company (IPIC) dari Abu Dhabi dan penjualan aset jana kuasa Edra Global Energy kepada syarikat China pada November 2015.
Pertukaran saham dengan IPIC yang menimbulkan perbalahan, berjaya diselesaikan minggu lalu.
Tetapi pembatalan urus niaga dengan IWH-CREC semalam menimbulkan persoalan mengenai keadaan pelan rasionalisasi 1MDB dan juga potensi kegagalan dengan kerajaan negeri Johor, pemegang saham utama dalam konsortium itu.
Dalam urus niaga Bandar Malaysia, konsortium IWH-CREC mempunyai 48 ekar tanah bernilai RM12.35 bilion. IWH-CREC ialah usaha sama 60:40 antara IWH dan CREC dengan kerajaan negeri Johor memiliki 40% dalam IWH menerusi Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd.
Adakah pemilik Bandar Malaysia, TRX City Sdn Bhd (TRXCSB) unit dalam Putrajaya akan dapat deposit konsortium itu sebanyak RM741 juta? Atau memulangkan semula mana-mana bahagian? Adakah pembatalan itu akan menjejaskan kemampuan rakan kongsi konsortium itu untuk membida projek kerajaan yang lain di Malaysia?
Seperti sedia maklum, usaha sama IWH-CREC Sdn Bhd (ICSB) pernah berkata mereka akan mendapatkan khidmat nasihat pandangan guaman berhubung pembatalan itu dan akan membuat pengumuman lanjut jika perlu.
“ICSB bimbang dengan kandungan Notis Penamatan dan kenyataan media yang dikeluarkan TRXCSB, dan melihat kepada faktanya ia tidak tepat sepenuhnya untuk menggambarkan keadaan dan tindakan pihak-pihak dalam perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Apakah keadaan itu dan adakah semua itu akan melewatkan projek Bandar Malaysia di mana Putrajaya mahu ia disiapkan dengan terminal kereta api berkelajuan tinggi ke Singapura secepat mungkin?
Ada banyak persoalan timbul daripada langkah terkini Putrajaya itu. Tetapi hakikatnya, apa juga yang berkaitan dengan hutang 1MDB dan penyelesaiannya akan terperangkap dalam masalah dengan penyelesaian mengambil masa lebih lama berbanding biasa.
Bolehkah Putrajaya akhirnya menyelesaikan masalah ini? Bolehkah ia membersihkan perkara ini, bertindak telus mengenai apa yang berlaku, dapatkan penyelesaiannya? Dan akhirnya, tidak ada sesiapakah yang bertanggungjawab atas segala yang berlaku? – 4 Mei, 2017.
Comments