KERAJAAN negeri Pulau Pinang berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum menjelaskan alasan negeri itu tercicir daripada proses persempadanan semula.
Ketua Menteri Lim Guan Eng, exco perumahan Jagdeep Singh Deo dan Raja Syarafina Raja Shuib menghadiri pendengaran kedua bersama SPR petang ini berkaitan bantahan kerajaan negeri terhadap keputusan mengecualikan Pulau Pinang.
Lim berkata selepas bercakap dengan pegawai SPR selama setengah jam, tiada jawapan diberi untuk menjelaskan mengapa tidak ada persempadanan semula bagi Pulau Pinang.
“Tiada alasan diberi. Mereka hanya kata ia dikehendaki di bawah undang-undang. Mereka akan pertimbangkan dan bincang, kemudian diputuskan.
“Tidak ada jawapan kepada penyerahan bantahan kami, seperti pada perbicaraan pertama (November lalu).
“Ia memberi tanggapan ini amalan yang sia-sia dan hanya formaliti,” katanya kepada wartawan selepas pendengaran permohonan itu ditutup di hotel di Tanjung Bungah.
Berkata berkata beliau mengulangi lagi harapan Pulau Pinang untuk mendapat jawapan bertulis SPR bagi menjawab mengapa isu salah pembahagian di negeri itu tidak ditangani.
“Saya rasa ini kali pertama Pulau Pinang tercicir daripada proses itu. Tanpa persempadanan semula, kami akan terus menghadapi masalah salah pembahagian,” katanya.
Lim berkata terdapat beberapa kawasan Parlimen dan DUN di negeri itu yang berdepan masalah sama ada terlalu banyak atau terlalu sedikit pengundi – isu yang hanya boleh dibetulkan menerusi persempadanan semula.
Beliau memetik kerusi Parlimen Bukit Gelugor dan Balik Pulau sebagai contoh. Bukit Gelugor yang dipegang DAP mempunyai 81,897 sementara Balik Pulau, kerusi Barisan Nasional ada 49,641.
“Bukit Gelugor ada 1.65 lebih ramai pengundi berbanding Balik Pulau.
“Ada kawasan kerusi DUN lebih teruk lagi. Paya Terubong ada 41,707 pengundi sementara Air Putih ada 12,752. Itu 3.37 lebih banyak. Paya Terubong boleh dapat tiga Adun,” katanya.
Paya Terubong ialah kerusi DAP, sementara Air Putih ialah kawasan Lim.
Lim berkata dengan salah pembahagian itu, prinsip asas demokrasi satu orang, satu undi, satu nilai tidak dihormati.
Mengikut prinsip itu, setiap undi dikira dan mempunyai nilai saksama.
“Tanpa persempadanan semula, wujudnya diskriminasi, perbezaan dan ketidakadilan. Anda tidak dapat diberi kepastian yang semua orang menikmati wakil yang sama adil,” katanya.
Bantahan Pulau Pinang terhadap SPR menyatakan ia bertentangan dengan Artikel 113(2) Perlembagaan Persekutuan kerana suruhanjaya itu tidak melaksanakan persempadanan semula untuk membetulkan salah pembahagian. – 3 Mei, 2017.
Comments