Sekatan Ba Kelalan dirobohkan, tiada tangkapan


Desmond Davidson

Sekatan dibina sebilangan penduduk Ba Kelalan di sempandan Malaysia-Indonesia dirobohkan. – Gambar ihsan dari wakil rakyat Ba Kelalan Baru Bian, 3 Mei, 2017.

Cubaan penduduk kampung di penempatan tanah tinggi pendalaman Ba Kelalan di Sarawak untuk menyekat bekalan makanan kepada jiran mereka di Indonesia yang berhampiran sempadan Kalimantan tidak berpanjangan.

Kemarahan bagaimanapun masih dilaporkan membara ketika gabungan pasukan keselamatan polis dan tentera bergerak masuk ke dalam kawasan terlibat tengahari semalam untuk merobohkan sekatan yang baru sehari dibina penduduk kampung di satu-satunya jalan menghala ke sempadan.

Jalan itu sering digunakan peniaga untuk merentas sempadan, melepasi kawasan berhampiran dengan kampung Long Midang, di daerah Krayan, Kalimantan Utara, Indonesia.

Perobohan itu berlaku tanpa kejadian tidak diingini kerana penduduk kampung yang terdiri daripada kaum Lun Bawang tidak cuba menyekat atau menghalang polis dan tentera tersebut daripada merobohkan sekatan itu.  

“Semuanya berjalan lancar kerana semua pihak memberikan kerjasama baik,” jelas OCPD Lawas Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam pesanan ringkas.

“Tiada tangkapan dilakukan.”

Lawas, yang diapit Brunei dan Sabah, ialah kawasan Sarawak paling utara.

Penduduk Ba Kelalan yang marah membina sekatan itu selepas kejadian tembakan dan penahanan tiga orang pemuda kawasan itu oleh polis Indonesia dalam operasi pencegahan dadah pada 24 April.

Mereka mengharapkan tindak balas itu akan memberi kesan kepada penduduk Indonesia yang selalu berulang alik ke situ- dengan menghalang mereka pergi ke kedai dalam kawasan Malaysia yang menjadi tempat mereka membeli kebanyakkan barangan keperluan asas mereka, daripada barangan makanan seperti gula, teh, kopi, tepung, minyak masak sehinggalah gas memasak dan bahan-bahan bangunan lain seperti keping zink, skrew dan paku.

Rakyat Indonesia juga membeli minyak untuk motorsikal dan kenderaan mereka di Ba Kelalan. Mereka merasakan lebih mudah mendapatkan barang dari Ba Kelalan kerana bekalan bandar berdekatan seperti Nunukan dan Tarakan seringkali mengecawakan.  

Motorsikal yang diubahsuai khusus dengan suspensi kukuh untuk membawa bebanan berat dan tayar jalan balak bagi mengharungi jalan berlumpur yang licin, akan membawa bekalan ini ke Long Midang dan bandar-bandar yang lebih jauh, seperti Long Bawan, setiap hari.

Dipercayai seramai 15 hingga 20 orang penduduk kampung, dengan bantuan mesin penggali, membina sekatan itu pada Hari Buruh, Isnin lepas.

Wakil rakyat Ba Kelalan Baru Bian memberitahu The Malaysian Insider yang pasukan peroboh yang terdiri daripada tiga orang polis dan empat orang tentera yang berpengkalan di unit tentera berpengkalan di situ, memulakan kerja mereka pada jam 1.30 petang.

Kata Baru, kerja perobohan itu, disaksikan penghulu kawasan, George Sigar Sultan dan ketua kampung Puneng, Gariso Dawat.

Ketua negeri PKR itu juga memaklumkan yang dia diberitahu tiga pemuda yang ditahan polis Indonesia itu dihantar ke Nunukan, ibu bandar daerah Kalimantan Utara.

Salah seorang pemuda itu, dikenali sebagai Sigar Kadir  ditembak di peha dan tangan kanan kerana dia cuba melarikan diri daripada tahanan polis.

Dia ditahan bersama dua orang kawan yang lain kerana memiliki 50gm syabu.

Timbalan Ketua Komisioner Polis Nunukan Pasma Royce dalam sidang medianya minggu lepas memberitahu yang Sigar mengadu sakit ketika berada dalam tahanan.

Dia dibawa untuk mendapatkan rawatan di hospital Lun Bawang, dan cuba melarikan diri ketika dalam perjalanan balik ke ibu pejabat polis Krayan, menurut Royce.

Sigar mencederakan polis yang mengawalnya tetapi tidak mampu menghilangkan upaya polis tersebut. Polis itu menembak dua das tembakan yang menghalang Sigar daripada terus melarikan diri.

Kata Royce lagi seramai 14 rakyat Malaysia, dipercayai ahli keluarga tiga pemuda itu, kemudian melakukan bantahan terhadap kejadian tembakan itu di laluan sempadan.

“Mereka pergi ke sempadan mendesak pintu sempadan untuk ditutup. Apabila mereka gagal, mereka mengugut untuk membina sekatan melintasi jalan raya berhampiran dengan titik sempadan,” Royce dipetik sebagai berkata  dalam laporan berita.

Walaupun polis Malaysia mengeluarkan jaminan yang keselamatan semua rakyat Indonesia dijamin selepas pintu sempadan kembali dibuka, ketakutan akan berlakunya serangan balas masih wujud di kedua-dua belah sempadan itu.

Baru berkata yang penduduk daripada kedua-dua belah kawasan sempadan bersetuju untuk berbaik-baik dalam satu pertemuan yang dijadualkan berlaku di Ba Kelalan esok. – 3 Mei, 2017


Sign up or sign in here to comment.


Comments