Kekecohan kod pakaian melibatkan pakaian takat lutut pemain catur berusia 12 tahun mungkin tidak akan berlaku, sekiranya kejohanan catur itu diadakan di Pulau Pinang.
Tida ada kod pakaian yang ketat untuk kejohanan catur yang diadakan di Pulau Pinang, kata Pengerusi Persatuan Catur Pulau Pinang Lee Ewe Ghee.
“Kami menganjurkan banyak pertandingan seperti Festival Catur Pulau Pinang dan Kejohanan Terbuka Catur Pulau Pinang Peringkat Antarabangsa.
“Kami hanya memaklumkan kepada pegawai dan peserta yang mereka perlu berpakaian kemas sepanjang berada dalam dewan pertandingan.
“Tetapi kami tidak terlalu menumpukan perhatian kepada perkara itu. Kami cuma berharap tiada sesiapa yang datang memakai selipar,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri Lim Guan Eng di Komtar hari ini.
Lee berkata tiada pemain pernah hilang kelayakan kerana pakaian mereka di Pulau Pinang.
Dia mengatakan yang ada pertandingan di Malaysia yang mempunyai kod pakaian yang ketat, seperti Kejohanan Catur Sekolah Kebangsaan yang dijalankan Kementerian Pendidikan sejak 20 tahun lepas.
“Tetapi tidak pernah ada masalah sebelum ini.
“Ada pemain wanita yang diberitahu mereka perlu memakai hijab di beberapa kejohanan antarabangsa seperti Kejohanan Catur Wanita yang diadakan di Iran baru-baru ini dan beberapa pemain catur Amerika menarik diri kerana tidak bersetuju dengan kod pakaian itu,” katanya.
Tambah Lee lagi, sewajarnya pemain perlu dimaklumkan terlebih dahulu tentang kod pakaian yang perlu diikuti.
Lim berkata yang isu ini memalukan negara kerana media antarabangsa seperti BBC dan Washington Post turut menyiarkan beritanya.
“Ia memberikan pandangan buruk kepada Malaysia.
“Pemain catur tidak melihat lawan mereka ketika bermain. Mata mereka di atas papan catur bukannya pada pakaian lawan mereka,” katanya.
Kontroversi kod pakaian tular minggu lepas selepas catatan Facebook jurulatih gadis tersebut yang tidak berpuas hati dan mendakwa seorang pegawai Persatuan Catur Malaysia menggugurkan pemain muda itu daripada pertandingan yang berlangsung di Putrajaya.
Jurulatih itu mendakwa yang pegawai itu mendapati pakaian gadis itu terlalu menggoda, manakala ibu gadis itu meminta permohonan maaf rasmi kerana kejadian tersebut.
Pegawai yang terlibat dalam kontroversi itu, Sophian A Yusuf yang berdepan pelbagai cemuhan malah ugutan di media sosial, menjelaskan yang dia tidak berada di tempat pertandingan ketika kejadian berlaku.
Dilaporkan juga yang gadis itu menarik diri secara sukarela dan tidak wujud unsur paksaan dari Kejohanan Catur Skolastik Kebangsaan 2017. – 3 Mei, 2017.
Comments