Pulau Pinang selalu dituduh 'anti-seseorang', kata Guan Eng


Looi Sue-Chern

SELEPAS menambah dana menyokong pembangunan hal ehwal Islam di Pulau Pinang sejak 2008, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekali lagi dituduh mengabaikan kaum Cina kerana lebih memihak kepada orang Melayu, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Ini katanya, situasi yang sering menimbulkan tanda tanya kepada pentadbiran pimpinan DAP, yang sering dilabel “anti-Islam” dan “anti-Melayu” oleh pesaing politik.

“Kami sentiasa dituduh ‘anti-seseorang’,” kata Lim hari ini.

Beliau menegaskan apabila kerajaan menyediakan lebih peruntukan bagi pembangunan hal ehwal Islam, MCA akan menuduh pentadbiran PH mengabaikan bukan Islam.

Pada masa yang sama, pentadbirannya juga dilabel “anti-Islam” dan “anti-Melayu” oleh Umno, dan kini bekas sekutu PAS, katanya.

Memetik laporan Sinchew Daily pada 7 Februari tahun ini, Lim berkata Pengerusi MCA Pulau Pinang Tan Teik Cheng menyelar kerajaan negeri “mengambil undi Cina tetapi hanya menjaga orang Melayu. Orang Cina yang rugi”.

“Ya, ia benar Pulau Pinang di bawah PH meningkatkan peruntukan pembangunan hal ehwal Islam sejak 2008 hampir 100%. Dari 2008 hingga 2016, kita mengetepikan RM457.05 juta. Adakah ia salah?

“Jika itu tidak salah, mengapa Umno dan PAS tidak mengkritik Tan kerana membuat kenyataan berbaur perkauman dan mengapa mereka tidak memberi perhatian kepada kenyataannya?” kata beliau pada sidang media hari ini.

Lim berkata ia permainan “bermuka-muka” Barisan Nasional, sambil menambah PAS juga nampaknya turut serta.

“Jelas sekali terdapat dua piawaian. Begitu juga PAS sekarang, mempertahankan BN dan tidak bercakap benar.

“Mungkin, PAS sendiri juga parti cauvinis,” katanya.

Tan ketika diminta mengulas, mengesahkan membuat kenyataan itu ketika menyampaikan ucapan pada majlis Tahun Baru Cina pada Februari.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas kenyataan Lim mengenai perkara itu. – 3 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments